Tuntutan palsu lebih RM19,000, anak MB Perlis mengaku tak salah

Tuntutan palsu lebih RM19,000, anak MB Perlis mengaku tak salah

Mohd Syafeeq Mohd Shukri didakwa serah dokumen atas nama individu lain bagi khidmat penyediaan minuman untuk kegunaan Raja Perlis.

anak mb
Anak menteri besar Perlis Mohd Syafeeq Mohd Shukri dibenar ikat jamin RM20,000 dengan sebutan semula kes pada 28 Jun. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Anak menteri besar Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM19,505.

Tertuduh, Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 35, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Salha Hamzah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan dokumen pesanan bekalan perkhidmatan kerajaan Perlis dengan niat memperdayakan berjumlah RM19,505.10 bertarikh 14 Feb 2024 yang mengandungi butiran palsu.

Dia didakwa menyerahkan dokumen atas nama Mohd Farid Abdul Hamid itu kepada Pembantu Tadbir di Bahagian Pentadbiran Daerah, Nurul Nabilah Mohd Shukri di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis bagi perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat Bahagian Pentadbiran Daerah di Pejabat Setiausaha Kerajaan Perlis 19 Feb 2024, lapor Buletintv3.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Sabit kesalahan membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda RM10,000.

Hakim membenarkan jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.