Rumah pemain Selangor Khuzaimi dipecah masuk

Rumah pemain Selangor Khuzaimi dipecah masuk

Ahmad Khuzaimi Piee membuat laporan kehilangan sebuah motosikal, empat beg silang dan satu pasport.

rompak
Pemain pertahanan Selangor FC, Khuzaimi Piee berkata rumahnya dipecah masuk ketika sedang menjalani latihan petang semalam.
PETALING JAYA:
Pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee mendakwa rumahnya dipecah masuk petang semalam.

Dalam laporan polis dilihat FMT, Khuzaimi berkata, beliau keluar rumah kira-kira 2 petang untuk menyertai sesi latihan.

“Pada jam lebih kurang 9 malam semasa saya sampai di rumah, saya dapati pintu pagar depan dan belakang telah terbuka.”

Pemain berusia 31 tahun itu berkata, beliau mendapati sebuah motosikal jenis Yamaha, empat beg silang pelbagai jenama dan satu pasport hilang.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan berkata, dua suspek dipercayai tiba dengan MPV berwarna putih dan meninggalkan lokasi kejadian secara berasingan, dengan seorang daripadanya melarikan motosikal milik mangsa.

Katanya, kerugian dianggarkan berjumlah RM15,000, termasuk motosikal Yamaha Y15R yang dilarikan suspek.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau meminta individu mempunyai maklumat berkaitan menghubungi pegawai penyiasat Laymand Rayne di talian 014-6907071.

Minggu lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta Liga Bola Sepak Malaysia meningkatkan protokol keselamatan pemain, khasnya perjalanan pergi dan balik dari stadium pada hari perlawanan serta di tempat penginapan ditetapkan.

Timbalan Presiden FAM, Yusoff Mahadi menegaskan kepentingan mengambil serius keselamatan pemain, khasnya selepas kejadian baru-baru ini membabitkan tiga pemain tempatan, dengan seorang daripadanya dalam keadaan kritikal.

Pada 2 Mei lalu, pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang dua perompak selepas pulang dari latihan.

Tiga hari kemudian, pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim menjadi mangsa serangan asid di sebuah pusat beli-belah menyebabkannya melecur tahap empat dan dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana keadaannya yang kritikal.

Insiden ketiga pada 7 Mei lalu menyaksikan cermin belakang kereta bekas ketua skuad kebangsaan dan Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim remuk ketika pulang dari latihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.