Mengapa suarakan hal Bersatu di ‘luar’, Khlir tegur Wan Saiful

Mengapa suarakan hal Bersatu di ‘luar’, Khlir tegur Wan Saiful

Isu-isu dalaman lebih baik dibincangkan dalam parti, tegas Ahli Parlimen Khlir Mohd Nor.

Khlir Mohd Nor berkata tindakan Wan Saiful Wan Jan membangkitkan cadangan melonggarkan syarat pertandingan hanya membuka ruang kepada orang luar mengulas hal dalaman parti.
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat Bersatu mempersoalkan tindakan rakan partinya, Wan Saiful Wan Jan, membangkitkan hal dalaman parti secara terbuka.

Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor, berkata tindakan Wan Saiful itu hanya membuka ruang kepada orang luar mengulas hal dalaman parti.

“Suarakan kat luar buat apa? Sepatutnya dia kena sarankan kepada majlis pimpinan tertinggi. Tak payahlah cakap-cakap di luar. Buat apa?” katanya kepada FMT.

Wan Saiful merupakan ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu. Sebelum ini, menuju pemilihan parti yang akan berlaku pada September tahun ini, Wan Saiful menyeru syarat bertanding lima jawatan tertinggi parti dilonggarkan bagi membolehkan lebih ramai individu berkelayakan mencalonkan diri.

Mengikut peraturan semasa, hanya ahli yang memegang jawatan ketua bahagian atau MPT selama lengkap dua penggal berhak bertanding lima jawatan tertinggi, sekali gus menyebabkan hanya Ahmad Faizal Azumu seorang yang layak, menurut kenyataan Wan Saiful.

Khlir bagaimanapun berkata isu-isu dalaman lebih baik dibincangkan dalam parti. “Kita menyuarakan kat luar tak bagus.”

“Apa-apa boleh suarakan kepada MPT dan serah kepada kepimpinan untuk buat keputusan.”

Sebelum ini, Faizal, yang juga timbalan presiden Bersatu, menyarankan ‘hal rumah tangga’ parti dibincangkan secara dalaman.

Sementara itu, Ketua Pemuda Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata isu ini wajar dibincangkan di peringkat MPT terlebih dahulu.

“Perpaduan dalam parti perlu diutamakan,” katanya.

Perkara 14.14 Perlembagaan Bersatu menyatakan MPT berhak memberi kelonggaran kepada mana-mana calon yang ingin bertanding jawatan tertinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.