Polis tahan lelaki jual kongkang, burung dilindungi

Polis tahan lelaki jual kongkang, burung dilindungi

Suspek ditahan di rumahnya di Pulau Pinang yang turut dijadikan lokasi menyimpan haiwan tersebut.

Polis berkata dalam serbuan itu pihak berkuasa merampas seekor kongkang dan 38 pelbagai spesies burung. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang menahan seorang lelaki kerana disyaki menjual kongkang dan pelbagai spesies burung dilindungi.

Lelaki berusia 28 tahun ditahan di kediamannya di Kampung Tanah Kebun di Nibong Tebal, Ahad lalu yang turut dijadikan tempat menyimpan haiwan berkenaan.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Rusley Chi Ari, berkata aktiviti lelaki itu dikesan hasil siasatan Unit Risikan PPM dan Perhilitan Pulau Pinang.

Katanya, dalam serbuan itu pihak berkuasa merampas seekor kongkang dan 38 pelbagai spesies burung dianggarkan bernilai RM15,000.

“Semua hidupan liar ini termasuk seekor kongkang ditemui di pondok hadapan rumah suspek.

“Lelaki terbabit juga dipercayai terlibat aktiviti menjual beli hidupan liar tanpa permit atau dokumen sah daripada Jabatan Perhilitan,” katanya menurut Sinar Harian.

Rusley berkata, suspek dan semua haiwan liar berkenaan dibawa ke pejabat Perhilitan Seberang Perai, untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Pindaan 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.