Ada ambil ubat antidepresan, kata bekas doktor pelatih

Ada ambil ubat antidepresan, kata bekas doktor pelatih

Tiga bekas doktor pelatih mengimbau kembali liku-liku bertugas di hospital.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Azizan Abdul Aziz, berkata ramai doktor muda berhenti meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan selepas melalui sendiri realiti sebenar.
PETALING JAYA:
Ketika dimaklumkan oleh senior untuk bersedia dengan beban kerja berat dan bertugas dalam tempoh panjang sebagai doktor pelatih, Zan (bukan nama sebenar) mula mempersiapkan berdepan cabaran mendatang.

Namun, apa didepani wanita berusia 26 tahun itu jauh daripada apa dijangkakan, demi mengejar impian menjadi doktor sejak kecil dalam empat bulan menjalaninya.

“Mendengar mengenainya (jangkaan) dan mengalaminya sendiri (realiti) dua perkara berbeza.

“Waktu kerja panjang benar-benar meletihkan saya fizikal dan mental. Tidak pernah terlintas di fikiran saya tidak ada masa makan dan solat,” katanya kepada FMT sambil mengambil maklum setiap hospital mempunyai cabaran tersendiri.

Zan kemudian berhenti dan kini membantu kakaknya dalam perniagaan, sambil menghadiri kursus fisioterapi.

Dalam pada itu, Amir (bukan nama sebenar), 25, berkata walaupun waktu kerja panjang ada dinyatakan secara hitam putih, dia mendapati terpaksa bertugas lima jam lebih panjang – proses permulaan mempelajari prosedur asas daripada doktor pelatih lebih senior, selain organisasi wad, dan penjagaan pesakit.

Amir menjangkakan dia boleh tamat tugas pada 5 petang.

“Ia seperti perhambaan. Tiada hari rehat walaupun pada satu-satunya hari saya sepatutnya rehat, rakan setugas akan menghubungi saya menanyakan perkara berkaitan pesakit,” katanya.

Azizan Abdul Aziz.

Pengalaman mereka sejajar apa diperkatakan Presiden Perubatan Malaysia Dr Azizan Abdul Aziz bahawa kerjaya dalam perubatan mungkin tidak sesuai kepada semua.

Azizan mengulas kadar tinggi doktor pelatih berhenti, sambil menambah ramai berhenti selepas melalui realiti sukar dalam profesion berkenaan.

Katanya, penting bagi ibu bapa dan anak mereka menguruskan jangkaan mereka dalam bidang perubatan.

Pada 2015, dilaporkan satu daripada lima doktor pelatih berhenti saban tahun. Sejak itu, jumlah berhenti meningkat tahun demi tahun. Bagaimanapun, situasi semasa tidak jelas memandangkan Kementerian Kesihatan tidak mengemas kini data diterbitkan.

Amir dan Zan mendakwa pegawai atasan kurang memberi sokongan pada permulaan mereka bertugas sebagai doktor pelatih.

Amir berkata, walaupun sebagai doktor pelatih, mereka dianggap perlu mengetahui segalanya walaupun masih baharu.

“Jika kami tidak dapat menjawab soalan tertentu, kami akan diherdik.”

Zan berkata, sistem sokongan memang ada, tetapi tiada sesiapa yang mengikutinya.

“Pandai-pandailah untuk kami hidup sendiri,” kata Zan sambil mengimbau kembali ada ketikanya dia dibiarkan berseorangan menguruskan empat wad lewat malam walaupun hanya sebagai doktor pelatih.

Sementara itu, Rex, ibu kepada seorang anak, berkata walaupun telah menjangka kesibukan jadual, dia tidak menjangka pembulian berleluasa.

Wanita berusia 26 tahun itu pernah diarah keluar daripada bilik pembedahan oleh jururawat kerana statusnya sebagai doktor pelatih. Dia diberitahu tidak ada pengalaman untuk berada di situ, sedangkan kehadirannya hanya untuk melihat dan membantu.

“Saya pernah diugut jururawat yang beritahu supaya merawat pesakit bawah jagaannya, walaupun syif kerja telah tamat. Saya diberitahu jika pesakit ini meninggal, itu kesalahan saya sepenuhnya.”

Ketiga-tiga mereka juga mendedahkan ada rakan setugas mengambil ubat antidepresan dan sering mengunjungi pakar psikiatri untuk terus mendepani cabaran sebagai doktor pelatih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.