
Ditubuhkan selepas kekalahan Barisan Nasional pada PRU 2018, GPS yang mentadbir Sarawak merupakan pakatan politik keempat terbesar dengan 23 kerusi di Dewan Rakyat.
Bulan lalu, Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Soon Koh, berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia meluluskan pembubaran parti itu pada 19 Mac. Pembubaran itu disusuli dengan penyertaan semua ahli PSB ke dalam Parti Demokratik Progresif (PDP), yang merupakan komponen GPS.
Mengulas tentang penggabungan itu, Fadillah yang juga naib presiden parti tunjang GPS – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) – mengecilkan sebarang kebimbangan bahawa penggabungan itu boleh membawa kepada percakaran dalaman.
Katanya, para pemimpin parti-parti komponen harus faham dan tunjukkan mereka saling hormat menghormati, serta mereka tidak sepatutnya melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan gabungan GPS.
“Semua parti komponen harus menghormati GPS yang ditubuhkan atas semangat kebersamaan, kerana ketika itu kita perlukan suatu pakatan yang kuat dari Sarawak,” katanya.
“Berdasarkan persefahaman ini, apa jua yang ingin parti komponen lakukan haruslah selepas rundingan terlebih dahulu.
“Semua parti komponen mesti hormati perkara ini. Teruskan berkomunikasi, hormat menghormati satu sama lain, dan apa sahaja percanggahan dan perbezaan yang timbul kita duduk dan bincangkan.
“Pada penghujungnya, segala-galanya perlu dilakukan dengan tujuan untuk mengukuhkan GPS.”
GPS yang memegang 79 kerusi daripada keseluruhan 82 kerusi di Dewan Undangan Sarawak, terdiri daripada PBB, PDP, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Presiden SUPP, Dr Sim Kui Hian, sebelum ini menyuarakan keraguan tentang penggabungan itu, manakala pemerhati berpandangan ia boleh memberi kesan pada kedudukan SUPP dalam kalangan pengundi.
Ditanya tentang pertelingkahan kerusi dalam kalangan GPS pada pilihan raya masa depan, Fadillah berkata gabungan itu akan memanfaatkan pengalaman daripada rundingan kerusi sebelum ini, dalam usaha untuk mencapai suatu penyelesaian yang baik.
“Kita akan tanganinya apabila tiba masanya nanti,” katanya, dan menambah: “Semua masalah ada formula untuk menyelesaikannya.”