
Walaupun telah ditutup sepenuhnya pada 2001, Madrasah Luqmanul Hakim itu terletak di Jalan Rabani, Kampung Tiram, Johor Bahru, masih mengundang kebimbangan penduduk kerana difahamkan pernah menjadi ‘medan usrah’ ahli kumpulan pengganas sekitar 1996 dan 1997.
Fared berkata, pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan polis membuat pertimbangan bagi tujuan perobohan.
“Saya meminta timbalan pengarah pengurusan MAIJ untuk membuat perbincangan dengan polis dan pasukan keselamatan untuk melihat keadaan bangunan tersebut.
“Hasil semakan, kita boleh mengisytiharkan bangunan itu tiada lagi kegiatan dan kebimbangan masyarakat yang mendakwa bangunan terbabit masih digunakan itu, saya boleh sahkan tidak lagi berlaku,” katanya menurut Berita Harian.
Jumaat lalu, dua anggota polis, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terbunuh dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, pada 2.30 pagi.
Suspek berusia 21 tahun itu turut maut, manakala seorang lagi anggota polis, Mohd Hasif Roslan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) setelah alami kecederaan parah, namun kini berada dalam keadaan stabil.
Dalam pada itu, Fared berkata, sejak insiden serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram, beliau mendapat banyak aduan masyarakat setempat menyuarakan kebimbangan serta bertanyakan tindakan pihak berkuasa terhadap premis berkenaan.
Katanya, pihak kerajaan boleh mengambil tindakan sehingga ke tahap untuk merobohkan madrasah terbabit kerana ia membabitkan soal keselamatan serta kebimbangan masyarakat pusat itu digunakan oleh kumpulan tidak bertanggungjawab.
“Ini membabitkan kebimbangan masyarakat, saya rasa pihak berkuasa akan lebih berautoriti untuk menentukannya, sekiranya perlu dirobohkan, saya kira kerajaan boleh mengambil tindakan ke tahap itu,” katanya.
Beliau berkata, kerja perobohan boleh dilakukan melihat kepada keperluan aspek kacau ganggu.
“Dan semua kacau ganggu yang berlaku, boleh menyebabkan kerajaan menggunakan kuasa-kuasa tertentu bagi maksud pemulihan kacau ganggu itu.
“(Tindakan merobohkan) Mungkin adalah solusi terakhir selepas semua semakan dapat kita selesaikan,” katanya.