
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan perpaduan berkata, perkara itu antara prasyarat wajib bagi syarikat berkenaan untuk terlibat dalam pelaksanaan rangkaian dwi 5G.
“Wakil lima syarikat telekomunikasi diwakili seorang ahli lembaga pengarah diberi masa 20 hari untuk membuat beberapa keputusan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Selepas tempoh itu, kita harap syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut akan melengkap dan memuktamadkan pegangan ekuiti dalam DNB.”
Pada 23 Ogos tahun lalu, Jemaah Menteri bersetuju agar model pelaksanaan rangkaian tunggal 5G ditukar kepada rangkaian dwi sebaik mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk.
Fahmi berkata, salah satu syarat dikenakan terhadap syarikat telekomunikasi yang ingin terlibat dalam rangkaian dwi itu adalah mesti melengkapkan perjanjian langganan saham (SSA).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kemudian akan mengumumkan proses tender bagi membolehkan syarikat-syarikat telekomunikasi itu terlibat dalam bidaan untuk menyertai rangkaian dwi, katanya.
Fahmi juga memaklumkan, hingga hujung bulan lalu capaian rangkaian 5G bagi kawasan berpenduduk mencecah 81.5%.
Beliau berkata, penerima penggunaan 5G meningkat sebanyak 3.8% berbanding pada hujung Mac.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, kerajaan sedia berdepan tindakan Perikatan Nasional (PN) memfailkan petisyen pilihan raya susulan PRK Kuala Kubu Baharu, dan menggesa gabungan itu terus mengumpul bukti.
Semalam, Ketua PN Selangor Azmin Ali berkata, gabungan itu sedang mengumpul bukti untuk memfailkan petisyen berhubung keputusan PRK Kuala Kubu Baharu yang berpihak kepada calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao pada 11 Mei lalu.
Pengarah pilihan raya PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu itu dipetik berkata, usaha tersebut membabitkan 16 ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang akan mengemukakan hasil dapatan kepada peguam.