Tinggal bayi di kedai ayam, polis tahan pasangan kekasih

Tinggal bayi di kedai ayam, polis tahan pasangan kekasih

Siasatan polis mendapati bayi itu dilahirkan pada 12 Mei lalu sebelum ditinggalkan di kedai memproses ayam enam hari kemudian.

Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
KUALA TERENGGANU:
Polis menahan seorang wanita kerana dipercayai meninggalkan bayi lelakinya berusia kira-kira seminggu di sebuah kedai menjual ayam di Jabur Kubur, Jalan Air Putih, Chukai dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan berkata penganggur berusia lingkungan 20-an itu ditahan di sekitar Jabur Kubur pada 11 pagi.

“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 24 tahun bekerja sebagai pembantu kedai makan dipercayai kekasih wanita itu pada 3 petang tadi di sekitar pekan Chukai.

“Tangkapan terhadap lelaki itu dibuat bagi membantu siasatan sama ada dia bersepakat dengan wanita terbabit untuk membuang bayi itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata siasatan mendapati bayi itu dilahirkan pada 12 Mei lepas di rumah lelaki berkenaan di Jabur Kubur sebelum ditinggalkan di lokasi terbabit pada 18 Mei.

Beliau berkata ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dibuat terhadap wanita itu bagi melihat sekiranya mempunyai kaitan dengan insiden seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dan dihurung semut yang dijumpai di kedai sama, Julai tahun lepas.

Sabtu lepas, seorang bayi lelaki yang sudah tertanggal tali pusat dijumpai di atas lantai kedai berkenaan dengan hanya beralaskan baju dan dalam keadaan menggigil kesejukan oleh seorang pemandu lori ayam kira-kira 7.30 pagi.

Bayi cukup sifat seberat 3kg itu dihantar ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan dan polis mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.