
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati Abdul Wahab gagal menunjukkan terdapat risiko bahawa Chegu Bard, atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, akan menerbitkan kenyataan memfitnahnya.
“Mahkamah mendapati pihak plaintif (Abdul Wahab) pada tahap ini gagal mematuhi kehendak ketat bawah Aturan 29 Kaedah 1(2A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang wajib dipatuhi,” katanya.
Sehubungan itu, Roz Mawar menolak permohonan Abdul Wahab, yang juga bekas pegawai J-Kom, dan memerintahkannya membayar kos RM10,000 kepada Chegu Bard.
Pada prosiding sama, Abdul Wahab turut gagal mendapatkan perintah mahkamah agar Chegu Bard memadam hantaran di Facebook berhubung rakaman video tersebut.
Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan saman tersebut selama tiga hari pada 2, 3 dan 4 Sept tahun depan, serta menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 3 Julai ini.
Pada prosiding hari ini, Abdul Wahab diwakili peguam Arief Firdaus Ashikin manakala peguam Muizzudin Schanni Feizal dan Zul Azrai Zolkapli mewakili Chegu Bard.
Pada 22 Dis tahun lepas, Abdul Wahab memfailkan saman terhadap Chegu Bard, mendakwa beliau menerbitkan, menyiarkan dan mendedahkan pernyataan fitnah dalam bentuk video terhadapnya melalui hantaran yang dibuat menerusi Facebook untuk tontonan masyarakat umum.
Abdul Wahab mendakwa, video itu menggambarkan seolah-olah beliau bersama Mohammad Agus sedang berbual secara lucah, bertujuan menunjukkan kononnya beliau terlibat dengan aktiviti tidak bermoral atau aktiviti homoseksual.
Selain itu, Abdul Wahab mendakwa Chegu Bard juga telah menerbitkan semula video hantaran Facebook tersebut di Telegram serta menerbitkan pernyataan fitnah bagi meraih manfaat untuk dirinya dalam bentuk populariti dan kedudukannya dalam kalangan pengikutnya.
Sehubungan itu, Abdul Wahab menuntut antaranya, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM5 juta, serta ganti rugi am dibayar oleh defendan selain menuntut permohonan maaf secara terbuka.