
Bekas pengarah kanan JKR, Zulkipeli Yamat, berkata beliau dan ketua pengarah JKR ketika itu Zulkefly Sulaiman menghadiri satu mesyuarat di ibu pejabat Kementerian Kewangan pada 8 Dis 2020, di mana arahan itu diberikan.
Dalam perbicaraan rasuah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, Zulkipeli berkata tender projek bawah program itu dianugerahkan sama ada menerusi rundingan terus atau kaedah prakelayakan (pre-Q).
“Untuk kaedah pre-Q, (JKR) akan menjemput syarikat terpilih untuk menghadiri taklimat dan membawa mereka untuk lawatan tapak. Syarikat kemudian akan menghantar harga tender dan dokumentasi,” katanya.
Selepas menerima harga tender dan dokumen berkaitan, JKR akan menjalankan satu semakan terhadap syarikat ini dan kelayakan mereka sebelum mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat terpilih.
Terdahulu, mahkamah diberitahu Nepturis Sdn Bhd diberi kontrak untuk projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur.
Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan JKR, Fauzi Hanafiah, memberitahu mahkamah projek persimpangan itu bernilai kira-kira RM232 juta.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti bagaimana ia termasuk bawah Jana Wibawa.
Projek Program Jana Wibawa diperkenalkan ketika pentadbiran perdana menteri pada masa itu Muhyiddin Yassin dengan objektif mempercepat pelaksanaan projek dan meningkatkan ekonomi negara semasa pandemik Covid-19.
Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek terbabit.
Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok.