
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata lelaki berusia 20 tahun yang juga ‘keldai dadah’ itu diberkas sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD KLIA hasil maklumat polis antarabangsa (Interpol).
Lelaki terbabit berada dalam keadaan mencurigakan di Balai Ketibaan Antarabangsa kira-kira 8.30 pagi sejurus tiba melalui penerbangan dari Peru dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu ke KLIA.
“Pemeriksaan dan imbasan sinar-X oleh pegawai perubatan mengesan imej mencurigakan di dalam perut lelaki itu dan dia kemudian ditahan di sebuah hospital berdekatan dengan pemantauan polis.
“Hasil pemantauan selama tiga hari, lelaki terbabit mengeluarkan 95 ketulan kapsul berwarna putih kekuningan dipercayai berisi dadah jenis kokain dianggar seberat 1,152 gram,” katanya pada sidang media.
Hussein berkata lelaki itu mendakwa menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum menerima arahan seterusnya daripada kartel dadah untuk membawa bekalan berkenaan ke destinasi seterusnya.
Beliau berkata dadah dianggar bernilai RM230,400 itu dipercayai untuk pasaran antarabangsa dan lelaki berkenaan kini direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB).
Dalam kes lain, polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dengan penahanan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas syabu dan ganja, masing-masing seberat 11,418 gram dan 43,860 gram di kawasan letak kenderaan di Petaling Jaya, pada 15 Mei lepas.
Susulan penahanan bapa, ibu, dan anak berusia antara 21 hingga 44 tahun pada 3.10 petang itu, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan kira-kira setengah jam kemudian di kawasan sama serta merampas satu bungkusan mengandungi dadah di dalam kereta dinaiki.
“Nilai rampasan bagi kes ini berjumlah RM364,800 dan dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya.
Pada tarikh sama, polis turut menahan dua lelaki di sekitar Sungai Way, Petaling Jaya selepas pemeriksaan terhadap kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka menemukan dadah jenis ganja seberat 22.05 kilogram yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang.
Polis turut berdepan detik mencemaskan apabila kedua-dua lelaki itu berkenaan bertindak melanggar kereta polis ketika ingin melakukan pemeriksaan.
“Susulan itu, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kenderaan bagi menghalang kedua-dua lelaki itu daripada meloloskan diri,” katanya.
Hasil penahanan mereka, polis berjaya menangkap seorang lagi lelaki di sebuah PPR di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 10 malam keesokan hari dan merampas dadah jenis ganja seberat 21.809 kilogram yang disembunyikan dalam kotak dan tong di ruang tamu rumah.
Semua direman seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB.