Surat Bersatu: Wakil rakyat paling tadah berhak ‘buat bodoh’

Surat Bersatu: Wakil rakyat paling tadah berhak ‘buat bodoh’

Peguam berkata keputusan di tangan speaker selepas Bersatu menghantar notis menjelaskan mengapa wakil rakyat terbabit perlu mengosongkan kerusi.

6 jahanam
Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Suhaili Abdul Rahman, Azizi Abu Naim, Zahari Kechik, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Dr Zulkafperi Hanapi menyokong Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Wakil rakyat Bersatu yang berpaling tadah berhak mengabaikan ‘surat arahan’ dihantar kepada mereka kerana pindaan perlembagaan parti tidak memberi kesan untuk kerusi dikosongkan, kata peguam.

Haniff Khatri Abdulla berkata, sebaliknya Bersatu perlu segera menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul selepas tempoh 14 hari surat yang diserahkan untuk dijawab wakil rakyat terbabit tamat.

“Memang sepatutnya mereka berhak ‘buat bodoh’ terhadap notis (surat arahan Bersatu). Pada pendapat saya akta atau undang-undang lompat parti yang wujud dalam perlembagaan tidak mengosongkan kerusi enam orang ini,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata wakil rakyatnya termasuk enam Ahli Parlimen dan seorang Adun berpaling tadah diberi tempoh 14 hari menjawab ‘surat arahan’, antara lain mengarahkan mereka tidak menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan keahlian mereka terhenti serta-merta mengikut Fasal 10(4) Perlembagaan Bersatu.

Enam ahli Parlimen itu adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari pula menyokong pentadbiran Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Mac lalu.

Menyusul kenyataan Hamzah, Syed Hussin menyifatkan surat itu tidak bermakna dan beliau tidak akan menjawab, manakala Suhaili mengulangi pendirian terus menyokong pentadbiran Anwar.

Sementara itu, Haniff berkata selepas tamat tempoh diberikan, Bersatu mesti segera menghantar notis kepada speaker Dewan Rakyat untuk memaklumkan alasan mengapa kerusi terbabit perlu dikosongkan.

Katanya, selepas itu keputusan terletak di tangan Johari berdasarkan Perkara 49(A) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas kenyataan keahlian wakil rakyat terbabit terhenti jika tidak menjawab surat itu, yang memungkinkan kerusi perlu dikosongkan mengikut akta anti lompat parti, Haniff berkata dalam perkara tersebut keadaan dilihat tidak memihak kepada Bersatu.

“Pindaan dibuat kepada Perlembagaan Bersatu, Fasal 10(4), (5) dan (6) itu tidak memberi kesan untuk mengosongkan kerusi enam orang ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.