Serangan balai polis: Segera patah ideologi JI, kata pakar keselamatan

Serangan balai polis: Segera patah ideologi JI, kata pakar keselamatan

Mohd Mizan Aslam menyifatkan serangan di Balai Polis Ulu Tiram semalam mengejutkan selepas gerakan JI dipatahkan 20 tahun lalu.

ULU TIRAM BALAI
Dua anggota polis terbunuh dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor kira-kira 2.45 pagi semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor semalam yang mengorbankan dua anggota polis menunjukkan ideologi Jemaah Islamiyah (JI) masih berkembang walaupun gerakannya dipatahkan 20 tahun lalu, kata pakar keselamatan.

Mohd Mizan Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) berkata gerakan itu mungkin bergerak kecil-kecilan termasuk dalam kalangan orang terdekat yang terbukti susulan penahanan lima ahli keluarga suspek termasuk bapanya yang disahkan anggota JI.

“Pengganas ini adalah ideologi, kita boleh penjarakan manusia secara fizikal tapi tidak ideologinya yang boleh berkembang dan mempengaruhi sesiapa sahaja.

“Pihak berkuasa perlu terus pantau, keadaan aman tak bermakna kita selamat,” kata pensyarah di Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM itu kepada FMT.

“Saya agak terkejut JI yang kita tumpaskan pada 2005, hampir genap 20 tahun muncul kembali, serangan hari ini (semalam) lebih berdarah dan dahsyat.”

Dalam kejadian 2.45 pagi semalam, dua anggota polis Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Muhamad Syafiq Ahmad Said maut selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang dan merampas dua senjata api daripada anggota polis.

Seorang lagi anggota keselamatan Mohd Hasif Roslan cedera akibat ditembak, manakala lelaki yang merupakan suspek utama mati ditembak di lokasi kejadian.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan suspek anggota JI, selain ahli keluarganya berusia 19 hingga 62 tahun kini dalam tahanan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Razarudin berkata lebih 20 anggota JI dikesan di Johor dan dalam siasatan polis.

JI adalah dalang di sebalik serangan bom di Bali pada 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang. Hotel Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta turut menjadi sasaran pengeboman pada 2009.

Anggotanya dilaporkan menerima latihan ketenteraan di Afghanistan pada 1990-an, dan kumpulan itu didakwa mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Lee Lam Thye menggesa tahap keselamatan di kawasan berisiko seperti balai polis ditingkatkan lagi susulan serangan semalam.

“Sekurang-kurangnya bilangan anggota atau tahap keselamatan balai polis hendaklah dipertimbangkan untuk mencegah sesuatu insiden.

“Jemaah Menteri harus bincang laporan penuh daripada polis, seterusnya buat keputusan segera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.