Bayi usia seminggu ditemukan di kedai jual ayam

Bayi usia seminggu ditemukan di kedai jual ayam

Bayi itu ditemui dalam keadaan mengigil kesejukan oleh pemilik kedai ayam berkenaan pada 7.30 pagi tadi.

Pemilik kedai ayam Raja Mahidi Raja Ayub, 38, berkata bayi berkenaan ditemukan atas lantai dengan hanya beralaskan baju. (Gambar Bernama)
CHUKAI:
Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu ditemukan di sebuah kedai menjual ayam proses di Jabur Kubur, Jalan Air Putih, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kemaman Hanyan Ramlan berkata bayi seberat 3kg dan cukup sifat itu ditemukan oleh seorang pemandu lori ayam kira-kira 7.30 pagi.

“Bayi itu dihantar ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

“Saya meminta kerjasama klinik swasta dan kerajaan untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada menerima kes wanita baru melahirkan anak,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, pemilik kedai ayam berkenaan Raja Mahidi Raja Ayub, 38, berkata bayi berkenaan ditemukan dalam keadaan sudah tertanggal tali pusat dan menggigil kesejukan.

“Pada mulanya pemandu lori berkenaan menyangka tangisan bayi itu datang daripada anak kucing. Selepas diperiksa dia terkejut bayi itu ditemukan atas lantai dengan hanya beralaskan baju.

“Tahun lepas pernah berlaku insiden sama di kawasan ini tetapi melibatkan bayi perempuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.