PM mahu polis hentikan ‘kegilaan’, jangan bagi peluang pada orang jahat

PM mahu polis hentikan ‘kegilaan’, jangan bagi peluang pada orang jahat

Anwar Ibrahim berkata tiada tolak ansur dalam soal keamanan dengan nyawa rakyat menjadi keutamaan.

ULU TIRAM BALAI
Dua anggota polis dan seorang suspek maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi, manakala seorang lagi anggota polis cedera. (Gambar Bernama)
ASTANA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak cuba melakukan kekacauan di Malaysia sehingga meragut nyawa.

Mengulas serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor, awal pagi ini, Anwar berkata beliau menyokong segala usaha dilakukan polis dan meminta rakyat memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Soal keamanan kita tidak tolak ansur, kerajaan akan tegas. Nyawa rakyat adalah keutamaan kita, tiada maknanya kemajuan kalau keamanan tidak dikawal. Tindakan keras akan diambil bagi menghentikan kegilaan (keganasan) ini dan saya menyokong penuh langkah diambil polis.

“Minta rakyat beri kerjasama, sentiasa berwaspada dan jangan bagi peluang kepada golongan jahat ini,” katanya pada sidang media pada hari terakhir lawatan kerja rasmi dua hari ke Kazakhstan.

Dua anggota polis dan seorang suspek maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 2.45 pagi tadi, manakala seorang lagi anggota polis cedera.

Anwar berkata, perkara lain yang juga perlu diatasi dengan tegas tanpa berkompromi termasuk perbuatan mereka yang memainkan isu kedudukan raja Melayu.

“Tahniah kepada polis, kita mahu tindakan tegas, tiada tolak ansur, kerana kita mahu negara dihormati. Bila negara dihormati dunia, ekonomi akan meningkat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.