Labur dana besar pendidikan awal untuk perkasa ekonomi, kata ahli akademik

Labur dana besar pendidikan awal untuk perkasa ekonomi, kata ahli akademik

Madeline Berma cadang penjimatan penyasaran semula subsidi disalur untuk program pendidikan awal, selain bantuan wang tunai.

Madeline Berma berkata Malaysia boleh mempersiapkan bakat sumber manusia dengan menyediakan pendidikan awal berkualiti kepada kanak-kanak.
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik mencadangkan sebahagian daripada penjimatan menerusi penyasaran semula subsidi ‘dilabur’ dalam pendidikan awal bagi mengembangkan ekonomi menerusi pemerkasaan sumber manusia.

Sebelum ini, penganalisis ekonomi menjangkakan penjimatan RM29 bilion diperoleh menerusi pelarasan subsidi diesel itu selain petrol yang membantu menstruktur semula belanjawan masa depan dengan keutamaan kepada sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan.

Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia Madeline Berma berkata laporan Bank Dunia dan Unicef baru-baru ini yang membangkitkan isu akses terhad terutama kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti seharusnya mendapat perhatian Putrajaya.

Menurutnya, ini kerana perkembangan ekonomi serta status kemajuan negara bergantung kepada bakat untuk menarik pelabur, dan ini boleh dilakukan dengan mempersiapkan seseorang itu sejak usia kecil, dengan memperkasa pendidikan awal.

“Kalau Malaysia nak melangkah ke depan dan menjadi maju perlu melabur besar dalam pendidikan kanak-kanak, jika ini dibuat maksudnya kerajaan bantu semua lapisan masyarakat bukan hanya B40.

“Sebenarnya kita boleh membiayai setiap bulan anak-anak ke sekolah (menerusi sebahagian penjimatan penyasaran semula subsidi) seperti di United Kingdom (UK), ini pelaburan berbaloi jangka panjang boleh dinikmati semua,” katanya kepada FMT.

Dalam laporan Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills’ baru-baru ini mendedahkan hanya 58% pelajar di Malaysia mahir membaca pada usia darjah 5.

Laporan itu menyebut Malaysia membelanjakan 3.2% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam sektor pendidikan, namun masih ketinggalan jauh.

Kajian itu menyerlahkan ketidakcekapan membimbangkan dengan pelajar Malaysia menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan dengan hanya 8.9 tahun.

Sementara laporan Unicef pula mendapati akses kepada pendidikan awal di negara ini masih lagi membimbangkan, ketika kadar pendaftaran prasekolah pada masa ini ialah 71%, lebih rendah daripada 87% purata kebangsaan.

Februari lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan yakin Malaysia boleh mencatat pertumbuhan antara 4% dan 5% pada 2024 disokong oleh asas yang kukuh dan pembaharuan yang digariskan dalam Ekonomi Madani dan Belanjawan 2024.

Madeline berkata memperluaskan bantuan kepada semua kelompok masyarakat tanpa hanya tertumpu kepada B40 seharusnya menjadi fokus kerajaan dalam usaha mengukuhkan KDNK dan ekonomi.

“Tambah peruntukan untuk pendidikan, kesihatan, atau infrastruktur dan semua akan dapat rasa kesannya kepada ekonomi,” katanya.

Abu Sufian Abu Bakar, bekas pensyarah kewangan dan perbankan dari Universiti Utara Malaysia pula mencadangkan usaha memperkasa ekonomi menerusi penjimatan subsidi difokuskan kepada penjanaan pendapatan rakyat.

“Gunakan untuk struktur semula ekonomi rakyat supaya mereka ada peluang jana pendapatan contohnya jika seseorang itu mempunyai kemahiran tetapi menganggur kerana diberhentikan…bagi galakan dengan beri latihan tambahan.

“Kalau nak ceburi bidang keusahawanan maka kita galakkan dan beri bantuan, ramai rakyat Malaysia ada idea serta kudrat tetapi modal tiada,” katanya.

“Peranan kerajaan beri (mereka) geran, kalau ia berjaya boleh sumbang semula menerusi bayaran cukai dan pada masa sama merancakkan kitaran ekonomi, melalui penyediaan peluang pekerjaan kepada individu lain pula.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.