
“Setiap hari dia ‘post’ mengenai kematian termasuklah perkongsian berkaitan meninggal dunia tidak mengira usia, sejak dua minggu lepas.
“Saya memang rasa aneh tetapi tidak berfikir dia akan pergi dan tidak sangka perkara ini hendak berlaku. Apabila dapat tahu mengenai kejadian saya tidak dapat fikir bagaimana keadaan dia semasa itu,” kata Nur Azza Assyaqiren Azhar.
Nur Azza Assyaqiren, 29, ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Poh Tambahan, Bidor.
Katanya, adiknya sememangnya mempunyai minat dalam kepolisan, malah berusaha sendiri untuk membuat permohonan dan menghadiri temuduga sehingga berjaya memasuki pasukan itu demi membanggakan kedua-dua ibu bapa.
Sementara itu, seorang lagi kakak mangsa, Azza Asyariena, 27, berkata adiknya ada menyatakan hasrat untuk membawa keluarga bercuti dan pulang ke kampung halaman bapanya di Kelantan.
Katanya, percutian bersama ibu bapa dan tujuh adik-beradiknya itu dirancang Fahmi yang mesra disapa ‘Ami’, bagi ‘menebus’ masa bersama keluarga yang tidak dapat dipenuhi pada Aidilfitri baru-baru ini kerana tuntutan tugas.
Asyariena berkata adiknya itu sering meluahkan hasrat berkenaan ketika membuat panggilan video bersama keluarga.
“Dia memang cakap nak balik bercuti hujung bulan Jun ini dan bawa keluarga pergi jalan-jalan,” katanya ketika dihubungi.
Anak kedua daripada lapan beradik itu juga menyifatkan Fahmi seorang yang sangat baik dan murah dengan senyuman selain tidak pernah berkira dengan keluarga.
“Dalam kalangan rakan-rakannya, mungkin Ami seorang yang pendiam, tetapi dalam keluarga mulut arwah paling riuh dan arwah ini sangat ringan tulang.
“Dia suka sangat mengusik adik-adiknya. Ami memang seorang ‘family man’, dia sentiasa ada ketika kami memerlukannya,” katanya sambil menambah adiknya bertugas di Balai Polis Ulu Tiram sejak dua tahun lepas.
Asyariena berkata kenangan berbuka puasa beramai-ramai dua bulan lepas merupakan kali terakhir mereka bertentang mata secara fizikal.
“Kami memang boleh dikatakan hari-hari akan (buat) panggilan video dengan semua adik-beradik. Kami akan kemas kini urusan harian masing-masing,” katanya.
Beliau berkata jenazah Fahmi dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor di Perak hari ini atau awal pagi esok selepas proses bedah siasat selesai.
Dalam kejadian 2.45 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.