AGC tolak representasi Sanusi batal 2 tuduhan hasut

AGC tolak representasi Sanusi batal 2 tuduhan hasut

Dalam prosiding sebutan kes itu hari ini, timbalan pendakwa raya berkata keputusan itu sudah dimaklumkan kepada pihak pembelaan.

sanusi
Sanusi Md Nor didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong pada 11 Julai 2023. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Representasi dikemukakan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor untuk membatalkan dua tuduhan menghasut ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 3 Mei lalu.

Sinar Harian melaporkan dalam prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud berkata keputusan itu dimaklumkan kepada pihak pembelaan mewakili Sanusi sebelum ini.

Pada 18 Julai 2023, Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak pada jam 11 malam 11 Julai lalu.

Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 1 Feb lalu, Sanusi dibenarkan memindah dua pertuduhan itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pertuduhan itu dibacakan semula dan Sanusi mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.