
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata kemudahan itu sebelum ini dikhaskan untuk 10 negara, menjadikan jumlah keseluruhan 46 bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk.
“Saya yakin inisiatif ini membolehkan pemeriksaan pintu masuk negara dapat dipercepatkan,” katanya dalam sidang media selepas penyerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau berkata, dari Januari hingga April seramai 40 juta pengembara masuk ke negara ini dengan 30.5 juta daripadanya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2 serta Tambak Johor.
Saifudin memaklumkan, inisiatif itu antaranya melibatkan 26 negara Kesatuan Eropah, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Hong Kong dan Taiwan serta diberikan kepada semua kakitangan diplomatik bertugas di Malaysia termasuk keluarga mereka.
“Tahun depan Malaysia menjadi pengerusi Asean yang mana mesyuarat di peringkat menteri dan pegawai kerajaan bakal berlangsung.
“Ini adalah langkah awal untuk kita mempersiapkan proses ketibaan mereka dapat diuruskan dengan cepat dan mudah,” katanya.
Katanya, ketika ini KDN mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan serta pengendali lapangan terbang untuk menempatkan lebih banyak papan tanda serta pengiring bagi memaklumkan mengenai kemudahan disediakan.
Menurutnya, kerajaan turut bercadang menambah 40 lagi pagar automatik di KLIA 1 dan 2 dengan jumlah keseluruhan 94.
Sementara itu, mengenai kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor, Saifuddin berkata terdapat beberapa inisiatif sudah diusahakan bagi memastikan proses imigresen lancar.
Bagaimanapun, katanya KDN akan membuat pengumuman lanjut mengenai inisiatif termasuk opsyen kod QR untuk pengembara yang keluar dan masuk Malaysia.