Tanpa Adun lantikan, Pahang tetap jaga Orang Asli, kata exco

Tanpa Adun lantikan, Pahang tetap jaga Orang Asli, kata exco

Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata kerajaan negeri tangani soal hal ehwal Orang Asli dalam banyak sudut sebelum pelantikan Adun lantikan baru-baru ini.

Exco Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata kerajaan Pahang tidak akan abai Orang Asli, di sebalik seruan Adun lantikan dipilih dalam kalangan komuniti itu.
PETALING JAYA:
Seorang exco Pahang memberi jaminan kerajaan negeri tidak akan mengabaikan kebajikan Orang Asli, walaupun tiada Adun lantikan daripada komuniti itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli, Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata sebelum ini pun kerajaan negeri giat melengkapkan penempatan-penempatan Orang Asli dengan kemudahan, termasuk menubuhkan Orang Asli Corporation Sdn Bhd (Oraco) untuk ekonomi komuniti itu.

“Daripada 266 kampung Orang Asli, hanya belas-belas kampung sahaja lagi belum dibangunkan,” katanya kepada FMT. “Di Pahang, kampung Orang Asli sudah ada sekolah menengah…kita sudah ada pusat pembangunan ekonomi buat ladang yang luas untuk Orang Asli sebagai sumber ekonomi mereka.”

“Orang Asli juga diberi rumah percuma. Tahun lepas sahaja 100 buah rumah diberikan, tahun ini tambah 120 rumah lagi. Negeri lain tak buat untuk Orang Asli begini.

Mengenai perwakilan pula, Syed Ibrahim menamakan ahli politik terkenal dari Pahang, seperti Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Md Nor, dan Senator Ajis Sitin.

Dalam pada itu, beliau menyeru Orang Asli supaya tidak terpengaruh dengan hasutan ‘pihak luar’ mengatakan kerajaan negeri akan meminggirkan kebajikan komuniti itu kerana tiada Adun lantikan dipilih dalam kalangan mereka.

“Sebelum buat lantikan Adun kita tangani soal hal ehwal Orang Asli dalam banyak sudut untuk memastikan kebajikan mereka terbela,” tegasnya.

Semalam, Parti Orang Asli Malaysia (Asli) menyeru kerajaan Pahang mempertimbangkan semula Adun lantikan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Presiden Rashid Ka’ berkata sepatutnya seorang Orang Asli dipilih memandangkan Pahang mempunyai jumlah penduduk Orang Asli yang ramai.

Pandangan ini turut dikongsi oleh pemimpin Perikatan Nasional, antaranya Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, yang berkata Adun yang dilantik sewajarnya mewakili golongan minoriti.

DUN Pahang baru-baru ini meluluskan usul melantik Haris Salleh Hamzah (ketua Umno Jerantut), Wong Tat Chee (ketua MCA Temerloh), Mohd Fadzli Mohd Ramly (ketua Amanah Pahang) dan Rizal Jamin (timbalan ketua PKR Pahang) sebagai Adun lantikan.

Turut dicadangkan pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Ahmad Irshadi Abdullah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.