
Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki 32 tahun itu ditahan di Jalan USJ4/1 Subang Jaya pada 11.20 malam Jumaat lalu dan ganja seberat 210g ditemui dalam beg suspek.
“Penahanan suspek membawa kepada serbuan di sebuah rumah disyaki milik keluarganya di Petaling Jaya dan menemui ganja dengan anggaran berat 35,762g.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM111,640, selain sebuah kereta dan motosikal disyaki digunakan untuk membuat penghantaran dadah kepada pelanggan serta merampas wang tunai RM1,270,” katanya pada sidang media di IPD Subang Jaya di sini.
Beliau berkata, suspek yang bergerak bersendirian itu mendapat bekalan dadah daripada orang tengah dipercayai dari negara jiran, sebelum membungkusnya semula dalam peket kecil untuk dijual kepada pelanggan pada harga RM300 setiap 10g.
Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati suspek positif ganja dan tiada rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.”
Dalam perkembangan lain, Wan Azlan berkata, sejak 1 Jan lalu hingga semalam, 901 individu ditahan membabitkan rampasan 53.5kg dan 0.5 liter pelbagai dadah yang keseluruhan rampasan berjumlah RM618,463.