Atlet kayak parah dipercayai dilanggar pemandu mabuk

Atlet kayak parah dipercayai dilanggar pemandu mabuk

Siti Nurul Masyitah Md Elias, pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2023, dikatakan sedang dirawat di Hospital Columbia di Johor Bahru.

Kemalangan membabitkan atlet kayak Siti Nurul Masyitah Md Elias, yang menunggang motosikal, dengan sebuah kereta, dipercayai berlaku Sabtu lepas. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Atlet kayak Siti Nurul Masyitah Elias terlibat dalam kemalangan dipercayai membabitkan pemandu mabuk di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey di sini.

Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, Siti Nurul Masyitah mengalami kecederaan yang serius.

“Mangsa sekarang dirawat di Hospital Columbia kerana mengalami kecederaan yang sangat serius.

“Mohon doakan agar dipermudahkan segala urusan mangsa dan diberikan kesembuhan,” menurut hantaran itu.

Siti Nurul Masyitah Md Elias.

Menurut hantaran itu, Siti Nurul Masyitah sering berulang-alik dari politeknik ke rumah untuk menjaga ibu yang mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan, manakala bapanya pula memerlukan rawatan dialisis.

Pelajar semester enam Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) itu merupakan salah seorang atlet kayak dan Perahu Naga Malaysia yang memenangi pingat gangsa Sukan SEA 2023.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan atlet tersebut terbabit dalam kemalangan.

Maklumat lanjut mengenainya akan dimaklumkan menerusi kenyataan media yang akan dikeluarkan, katanya.

Terdahulu, beberapa rakaman video dan gambar turut tular di media sosial, memaparkan kejadian dipercayai berlaku pada Sabtu lepas itu membabitkan atlet tersebut, yang menunggang motosikal, dengan sebuah kereta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.