‘3 tahun derita’, Wee gesa saman cuai LRT bertembung selesai luar mahkamah

‘3 tahun derita’, Wee gesa saman cuai LRT bertembung selesai luar mahkamah

Presiden MCA menuntut kerajaan berperikemanusiaan memandangkan kemalangan itu bukan kesalahan mangsa dalam insiden pada 2021.

Florence Lee memfailkan saman terhadap Prasarana Malaysia Bhd dan Rapid Rail Sdn Bhd dengan mendakwa beliau mengalami kecederaan serius selepas dua tren LRT bertembung pada 2021.
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri pengangkutan menggesa kes saman cuai mangsa kemalangan dua tren LRT tiga tahun lalu diselesaikan di luar mahkamah bagi menjimatkan kos dan masa kerajaan.

Wee Ka Siong yang juga presiden MCA berkata, kerajaan dituntut bersikap berperikemanusiaan memandangkan kemalangan itu bukan kesalahan Florence Lee, sebaliknya beliau salah seorang mangsa dalam insiden pada 2021.

Wee Ka Siong.

“Justeru, saya menggesa kerajaan segera berjumpa beliau (Lee), menilai tuntutannya dan memilih untuk menyelesaikan kes ini di luar mahkamah dengan membayar pampasan wajar kepadanya.

“Kerajaan Madani digesa bersikap berperikemanusiaan dan menyelesaikan kes ini di luar mahkamah, bukan menggunakan prosedur mahkamah yang akan mengambil (masa) beberapa tahun di samping memaksa kerajaan menanggung kos yang besar serta membazir masa peguam negara serta mahkamah,” katanya di Facebook.

Wee yang berkhidmat sebagai menteri pengangkutan antara 2018 hingga 2022 berkata, tuntutan dibuat juga munasabah berikutan kecederaan dialami mangsa.

“Sudah cukup tiga tahun beliau menderita, kerajaan hari ini tidak patut menyusahkan lagi dengan memaksa beliau menanggung kos perundangan sementara menunggu kes beliau dibawa ke mahkamah lagi empat tahun iaitu pada 2028.

“Ditekankan, ini bukan salah Lee, sebaliknya beliau adalah mangsa tragedi pengangkutan awam negara kita, kecederaan dialami beliau dari segi fizikal dan emosi amat serius, tambahan lagi ia bukan berpunca daripada kecuaian sendiri,” katanya.

Lee, 57, memfailkan saman pada Disember tahun lalu, menamakan pemilik sistem LRT, Prasarana Malaysia Bhd dan pengendalinya Rapid Rail Sdn Bhd sebagai defendan dengan mendakwa beliau mengalami kecederaan serius selepas dua tren LRT bertembung.

Wanita itu terpaksa menunggu hingga 2028 untuk perbicaraan kes saman cuai dikemukakannya didengar selepas Hakim Shahrir Salleh menetapkan tarikh perbicaraan bermula 10 Jan 2028 dalam pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu.

Lee menuntut ganti rugi khas RM113,524.08 termasuk RM84,372.58 bagi perbelanjaan perubatan, fisioterapi dan pemulihan, selain ganti rugi am, teruk dan teladan mengikut penilaian mahkamah berikutan nahas yang berlaku di laluan Kelana Jaya pada 24 Mei 2021 itu menyebabkannya mengalami ‘kecederaan fizikal dan mental’.

Beliau turut mendakwa terkesan lebih teruk apabila pengerusi Prasarana ketika itu, Tajuddin Abdul Rahman meremehkan kejadian dengan mendakwa dua tren itu ‘bercium’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.