
Abdullah Yeepanoh, 33, yang berasal dari Narathiwat menjelaskan permintaan untuk ke Malaysia sebenarnya banyak, memandangkan pengusaha sepertinya selalu bercerita kepada rakyat Thailand tentang tempat-tempat menarik di sini.
“Kami sendiri yang promosikan Malaysia kepada orang Thailand,” katanya yang fasih berbahasa Melayu, kepada FMT.
“Biasanya orang sebelah Selatan Thailand lebih memilih untuk ke tempat menarik di Malaysia berbanding ke Bangkok atas sebab jarak perjalanan dan kos pengangkutan.”
Abdullah mengulas kelulusan kerajaan tidak membenarkan pengusaha van pelancong di Thailand membawa masuk kenderaan mereka, bagi mengelakkan industri bas ekspres tempatan terjejas.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook semalam juga dilapor berkata ada di antara pengusaha terbabit akan mengambil peluang membawa penumpang dalam negara selain membawa pelancong.
Dalam pada itu, seorang lagi pengusaha, Worawit Madsee, 28, percaya membenarkan van pelancong dari Thailand memasuki Malaysia akan menggalakkan kehadiran pelancong yang akan berbelanja di negara ini.
“Saya berharap suatu hari nanti kerajaan Malaysia akan benarkan kerana bukan semua pengusaha boleh berbahasa Melayu, jadi mereka yang ada kebolehan bertutur bahasa Melayu ni akan rugi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Kamaruddin Md Nor berkata pihaknya sebelum ini hanya meminta kerajaan membenarkan bas pelancongan Thailand masuk ke negara ini.
Beliau berkata pendekatannya sekarang ialah menangani perkara ini secara berperingkat.
“Sekarang ini bas dulu,” katanya, dan menambah terdapat kebimbangan tentang pengusaha van pelancong salah guna permit seperti menjadi ‘teksi sapu’.