
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata pihaknya mengesan satu hantaran berhubung kejadian itu tular di media sosial semalam.
“Menerusi hantaran itu, individu tersebut mendakwa dagunya terkoyak akibat terkena benang melintang di SUKE selepas susur keluar Taman Kosas menghala Tol Bukit Teratai kira-kira 6.30 petang semalam.
“Pada masa sama, polis Ampang Jaya akan membuat siasatan awal dan perjumpaan dengan pengendali lebuh raya SUKE untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Setakat ini, katanya, belum ada laporan berhubung kejadian itu dan beliau meminta kerjasama mangsa serta saksi tampil membuat laporan.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu.
Sementara itu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) berkata pasukan peronda SUKE meningkatkan pengawasan di sepanjang lebuh raya berkenaan.
Katanya, sebarang aktiviti berbahaya termasuk permainan layang-layang berdekatan lebuh raya akan diawasi dan dilaporkan segera kepada polis.
“Selain itu, SUKE bersama persatuan penduduk setempat akan menambah baik langkah keselamatan bagi membendung insiden sama berulang,” katanya dalam kenyataan.
Prolintas turut memaklumkan pihaknya belum menerima laporan daripada mangsa dan menyarankannya memfailkan aduan kepada pihak berkuasa.