Mati dalam tahanan: Kerajaan gagal ketepi ganti rugi RM450,000

Mati dalam tahanan: Kerajaan gagal ketepi ganti rugi RM450,000

Mahkamah Rayuan putuskan tiada sebab untuk campur tangan dapatan fakta oleh hakim perbicaraan.

Court of Appeal
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan untuk mengetepikan ganti rugi RM450,000 kepada seorang balu dan anak lelakinya yang memfailkan saman cuai susulan kematian suaminya dalam tahanan polis, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Lee Swee Seng memutuskan, tiada sebab baik untuk campur tangan dalam dapatan fakta oleh hakim perbicaraan.

“Kecederaan dialami si mati tidak dapat dinafikan melihat kepada keterangan ahli forensik patologi,” kata Lee yang bersidang bersama Hakim Collin Lawrence Sequerah dan Azizul Azmi Adnan.

Beliau turut menegur keengganan polis memberikan rakaman kamera litar tertutup mengenai apa yang berlaku kepada M Segar di lokap dan bilik soal siasat di Port Dickson.

Katanya, ganti rugi RM150,000 bagi penyalahgunaan kuasa dalam jawatan awam, dan RM200,000 ganti rugi teruk diberikan juga tidak keterlaluan.

“Memandangkan perlakuan polis, ganti rugi berkenaan adalah wajar,” katanya yang turut memerintahkan kos RM15,000 kepada M Vimala Devy dan anaknya Thusataran.

Peguam Krishna Dallumal, Haresh Mahadevan dan Yong Young Hui mewakili dua beranak itu, manakala Peguam Kanan Persekutuan Siti Syakimah Ibrahim dan Peguam Persekutuan Syafiq Affandy Hassan mewakili kerajaan.

Pada 8 Sept tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Wan Fadhilah Wan Idris memutuskan defendan cuai kerana gagal memastikan keselamatan Segar yang berada dalam jagaan mereka.

Wan Fadhillah memberikan ganti rugi teruk sebanyak RM200,000 kepada plaintif, selain RM150,000 bagi penyalahgunaan kuasa dalam jawatan awam, RM63,000 bagi kehilangan saraan, RM30,000 untuk kesedihan, dan RM3,780 bagi perbelanjaan pengebumian.

Seorang ahli forensik patologi dalam keterangannya berkata si mati mengalami pelbagai kecederaan akibat trauma objek tumpul, dan usia kecederaan itu selaras dengan tempoh dia ditangkap dan ditahan dalam lokap.

Menurut pernyataan tuntutan, Segar yang bekerja sebagai pembantu gerai makan, dan rakannya Mogan ditahan polis pada jam 10.30 malam, 17 April 2017 bagi membantu siasatan kes dadah.

Segar kemudian ditahan reman tiga hari, sebelum ditemui mati sehari kemudian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.