
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata keputusan bagi kes M Indira Gandhi adalah undang-undang yang baik.
“Tidak ada sebab untuk semak semula kes itu,” katanya, yang mempengerusikan sidang hakim tiga anggota.
Keputusan sepakat itu lantas menolak permohonan kebenaran untuk mencabar keputusan oleh Mahkamah Rayuan, yang memihak kepada seorang ibu tunggal, Loh Siew Hong, pada 10 Jan tahun ini.
Keputusan ini, oleh sidang yang turut dianggotai oleh Hakim Nallini Pathmanathan dan Abu Bakar Jais, bererti ia mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan membatalkan peruntukan dalam enakmen Perlis yang membolehkan penukaran agama secara sebelah pihak, kerana ia bercanggah dengan Perkara 12(4) Perlembagaan.
Tengku Maimun berkata MAIPs, pendaftar mualaf, Mufti Asri Zainul Abidin, dan kerajaaan negeri selaku responden cuba semak semula kes Indira.
Beliau berkata istilah “parent” dalam teks Perlembagaan versi bahasa Inggeris bermaksud penukaran agama kanak-kanak perlu dipersetujui oleh ibu dan bapa.
“Keputusan kes Indira ini tidak salah,” kata Tengku Maimun, yang menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan terpakai bagi seluruh negara.
Beliau juga berkata tiada keterangan menunjukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong menetapkan teks Perlembagaan versi bahasa Melayu adalah teks rasmi.
“Peguam bagi pihak responden tidak tangani isu ini,” katanya, sambil memerintahkan pihak-pihak berkenaan menanggung kos.
Para responden berpendirian bahawa ibu atau bapa boleh menular agama anak bawah umur tanpa izin pihak satu lagi sekiranya versi bahasa Melayu diguna pakai.
MAIPs juga berkata duluan yang ditetapkan oleh kes Indira itu hanya terpakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Loh dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan penukaran agama tiga anak bawah umurnya secara sebelah pihak, di Perlis empat tahun lalu adalah mengikut Perlembagaan.
Anak-anak Loh ditukar agama kepada Islam oleh bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran Muniandy, pada 2020.
Loh membawa perkara itu ke mahkamah, memohon ia mengisytiharkan bahawa peruntukan dalam enakmen negeri yang membolehkan ibu atau bapa secara sebelah pihak menukar agama anak bawah umur adalah tidak mengikut Perlembagaan.
Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa dua anak perempuannya, yang sekarang berusia 16 tahun, dan anak lelakinya, yang berusia 13 tahun, masih beragama Hindu.
Haniff Khatri Abdulla tampil selaku peguam bagi pihak MAIPs, manakala penasihat undang-undang Perlis, Radhi Abas, bersama pembantunya, Ainul Wardah Shahidan, mewakili responden lain.
A Srimurugan, Shamsher Singh Tind, dan J Gunamala mewakili Loh.