
James Chin dari University of Tasmania berkata, pilihan raya merebut kerusi di Selangor itu bersifat setempat dan keputusannya yang menyaksikan kemenangan Pang Sock Tao dari PH dengan majoriti 3,869 undian, tidak menggambarkan sebarang kemenangan signifikan dalam iklim politik Malaysia.
“Ia tidak menunjukkan tambahan sokongan untuk PH dan DAP. Walaupun PH meningkatkan undian mereka (dari segi peratusan), ia bukanlah sesuatu yang signifikan,” katanya, dengan menambah penambahan undi sebanyak 2-3% kebanyakannya daripada undian anggota polis serta tentera.
“Namun ini boleh berubah bila-bila masa,” katanya.
Chin berkata, keputusan PRK itu tidak membayangkan sebarang perubahan signifikan dalam undian rakyat.
“Kebanyakan pengundi Melayu di negara ini masih cenderung memilih Perikatan Nasional dan PAS.
“Ini pilihan raya yang sangat bersifat setempat, anda tidak boleh menggunakannya untuk mengatakan inilah masa depan politik Malaysia. Ia sekadar spesifik untuk pilihan raya ini,” katanya kepada FMT.
Pang berjaya mempertahankan kerusi itu dalam pemilihan Sabtu lalu, mengalahkan calon PN Khairul Azhari Saut dengan majoriti lebih besar daripada dijangka. Beliau turut mengejutkan ramai pihak apabila meraih kebanyakan undian awal oleh anggota polis, tentera dan suami isteri mereka.
Susulan kemenangan itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa keputusan berkenaan membuktikan ‘pengundi Melayu telah berubah sikap’, manakala Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata ia membuktikan lebih ramai pengundi Melayu menyokong kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Charles Santiago berkata janji ditaburkan Putrajaya kepada pengundi khususnya dari masyarakat India, selain konflik dalaman yang dilihat berlaku antara PAS dan Bersatu, mungkin turut memainkan peranan.
Ini susulan dakwaan bahawa jentera parti itu ‘kurang menonjol’ dan ‘tidak ghairah’ berkempen dalam PRK berkenaan, walaupun parti itu sering menjadi jentera dan tulang belakang PN.
Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, sentimen pengundi di Kuala Kubu Baharu tidak menggambarkan seluruh negara buat masa ini, namun mungkin menjadi petanda bagi masa depan.
“Ia mungkin membayangkan apa yang bakal dialami Malaysia di masa depan apabila lebih banyak negeri melalui urbanisasi dan perindustrian,” katanya dengan menambah Kuala Kubu Baharu bersifat separa urban dan campuran dengan demografi pelbagai kaum merangkumi Melayu (50%), Cina (30%) dan India (18%).
Katanya, kumpulan pengundi di situ tidak seperti di utara dan timur Semenanjung malah pengundi Melayu Muslim separa bandar terbuka untuk mengundi PH sekiranya dasar kerajaan memanfaatkan mereka.
“Kemenangan di Kuala Kubu Baharu bererti PH-DAP boleh yakin sekurang-kurangnya segelintir dasar kerajaan perpaduan nampak berkesan.
“Kedudukan terkini PH dan DAP bukanlah semestinya kuat, tetapi semakin kukuh saban hari apabila petunjuk ekonomi seperti pelaburan dan pengangguran nampak semakin baik,” katanya.