Demi langsai hutang, peniaga menyamar ‘ibu’ daftar kad pengenalan jiran

Demi langsai hutang, peniaga menyamar ‘ibu’ daftar kad pengenalan jiran

Majistret menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM2,000 kepada Ramla Lampeh.

Ramla Lampeh (kiri) dan dua beradik yang juga jirannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sandakan hari ini. (Gambar Bernama)
SANDAKAN:
Seorang peniaga wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan memberikan maklumat palsu bagi mendaftarkan kad pengenalan dua lelaki yang juga jirannya tahun lepas.

Majistret Nur Faezah Jafry menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan kepada Ramla Lampeh, 49, bagi setiap pertuduhan mulai tarikh tangkapan 10 Mei lepas dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

Beliau turut mengenakan denda RM2,000 untuk pertuduhan pertama dan tambahan tiga bulan penjara, jika gagal membayar denda.

Ramla dalam dua pertuduhan itu didakwa memberikan maklumat palsu sebagai penganjur, iaitu mengakui dirinya “ibu” bagi mendaftarkan kad pengenalan atas nama Mohammad Firman Rahman, 22, dan Mohammad Luqman Rahman, 20.

Menurut fakta kes, tindakan itu dilakukan bagi melangsaikan hutang kepada peminjam wang dan Ramla didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sandakan pada 12.35 dan 12.45 tengah hari 15 Feb 2023.

Wanita itu didakwa mengikut Peraturan 25 (1) (b) Peraturan-peraturan Pendaftaran 1990 (pindaan 2007), juga boleh dihukum bawah peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Ramla, yang diwakili peguam Mohd Nazri Zikiri, merayu hukuman ringan berbentuk denda kerana menanggung keluarga dengan pendapatan RM500 sebulan serta menjaga seorang anak kurang upaya.

Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Naser Mohd Nadzeri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pencegahan kerana kes itu serius dan sensitif serta melibatkan kedaulatan negara.

“Jika penyamar berjaya memperoleh kad itu, penyamar mendapat segala kemudahan dan kelebihan sebagai warga Malaysia, sedangkan penyamar tidak layak.”

Di mahkamah sama, Faezah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan serta denda RM1,500 dan jika gagal membayar denda itu akan dipenjara sebulan kepada Firman yang bekerja sebagai nelayan.

Beliau turut memerintahkan Luqman yang tiada pekerjaan tetap dipenjara tujuh bulan.

Dua beradik yang tidak diwakili peguam itu didakwa memberikan maklumat palsu sebagai pemohon semasa mendaftarkan kad pengenalan di JPN Sandakan di lokasi, tarikh serta masa sama mengikut Peraturan 25 (1) (b) Peraturan-peraturan Pendaftaran 1990 (pindaan 2007).

Mahkamah turut memutuskan kedua-duanya perlu menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapan 10 Mei lepas dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.