
Setakat ini, katanya Lembaga Tabung Haji (TH) belum menerima laporan rasmi berkaitan jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji.
Menurutnya, jemaah haji yang merasakan terpedaya dengan janji pihak agensi untuk menunaikan haji perlu membuat aduan kepada TH, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kerajaan melalui TH saban tahun memberi peringatan kepada umat Islam lebih berhati-hati dengan tawaran pakej murah oleh segelintir agensi pelancongan tidak dilesenkan bawah TH.
“Individu atau agensi pelancongan menawarkan pakej haji tanpa kelulusan TH adalah satu kesalahan dan mereka boleh dikenakan tindakan bawah Akta Tabung Haji 1995,” katanya menurut Harian Metro.
Kenyataannya merujuk laporan media minggu lalu terdapat rakyat Malaysia terkandas di Makkah dan Madinah akibat terpedaya pakej haji menggunakan visa pelancong.
Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan penalti 10,000 riyal (RM12,641) jika melanggar peraturan musim haji 2024 tanpa permit haji.
Penalti itu terpakai kepada semua individu termasuk warga tempatan, manakala rakyat asing akan dihantar pulang dan dilarang ke Riyadh untuk tempoh ditetapkan bawah peraturan berkenaan.
Difahamkan, pelanggaran peraturan itu boleh membawa kepada hukuman penjara enam bulan dan denda sehingga 50,000 riyal (RM63,096).