Penduduk Rawang mahu lihat laporan EIA projek insinerator

Penduduk Rawang mahu lihat laporan EIA projek insinerator

Aktivis Liow Yeong Lih berkata, kebimbangan penduduk Rawang sering diketepikan walaupun banyak bantahan aman diadakan.

(Dari kiri) Ravy Shanker, Karl Ngo, FS Wong, Lai Wai Meng dan Liow Yeong Lih membantah pembinaan loji insinerator sisa kepada tenaga di Batu Arang.
PETALING JAYA:
Dua NGO mewakili penduduk Rawang mahu melihat laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi cadangan pembinaan loji insinerator sisa kepada tenaga di Batu Arang, Gombak.

Wakil United Batu Arang dan Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI) berkata, mereka menunggu untuk menyemak laporan EIA sejak cadangan membina loji tenaga hijau Sultan Idris Shah diumumkan Julai tahun lalu.

Tetapi, penyelaras Jaringan RTI, Liow Yeong Lih berkata, syarikat insinerator KDEB Waste Management Sdn Bhd memberitahu penduduk Oktober tahun lalu bahawa ia akan melanjutkan penilaian alam sekitarnya atas kebimbangan baharu dibangkitkan NGO itu.

“Mereka menangguhkan penyerahan laporan itu kerana kami menyuarakan kebimbangan terhadap kerapuhan tanah di tapak cadangan, yang terletak dekat terowong perlombongan bawah tanah lama,” katanya kepada FMT.

Beliau mencabar kerajaan negeri, KDEB dan YTL Power International Bhd tampil dengan laporan EIA yang adil dan benar.

Ogos lalu, YTL Power mengesahkan ia bekerjasama dengan KDEB untuk membina loji sisa kepada tenaga bernilai RM4.5 bilion di Rawang, yang dikatakan Liow akan memberi kesan kepada penduduk Bandar Tasik Puteri, Batu Arang, Kota Puteri, M Residence dan Bandar Seri Coalfields.

Ahli United Batu Arang, Karl Ngo, yang tinggal 400m dari tapak projek cadangan itu berkata, penduduk bimbang dengan pelepasan dioksin, kumpulan pencemar alam sekitar yang juga hasil sampingan pembakaran sisa.

“Selain dioksin, terdapat lapisan arang batu tebal di bawah Batu Arang dan projek insinerator boleh mengakibatkan kebakaran bawah tanah.”

Ngo bimbang rumahnya akan mengalami nasib sama seperti bandar Centralia di Pennsylvania, yang kebanyakannya ditinggalkan akibat kebakaran yang membakar lombong arang batu bawah tanahnya sejak 1960-an.

Januari lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dilaporkan berkata, teknologi itu digunakan secara meluas di negara maju dan tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

Menurutnya, loji insinerator itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah yang disifatkannya memberi kesan buruk kepada masyarakat akhirnya.

Sering diketepikan

Liow berkata, kebimbangan mereka sering diketepikan pegawai Selangor, walaupun mendapat sokongan Adun Rawang, Chua Wei Kiat, Adun Kuang, Rafiq Abdullah dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Pada 4 Mei lalu, ahli Jaringan RTI ke Kuala Kubu Baharu dengan harapan menemui Amirudin, calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao dan calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut.

“Kami hanya hendak tanya mereka dua soalan mudah: sama ada mereka menyokong projek insinerator Batu Arang dan sama ada mereka menyokong pengasingan sisa di sumber.

“Kami cuba menjadualkan temu janji dengan calon, tetapi mereka kata projek itu bukan isu tempatan dan mereka tiada masa jumpa kami kerana kempen PRK sedang berlangsung,” kata Liow.

Ngo berkata, lebih 4,300 penduduk Rawang menandatangani borang maklum balas yang diserahkan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mac lalu, tetapi beliau belum mendapat maklum balas daripada wakil MPS, yang menyatakan dalam borang mereka akan menghubungi untuk mengadakan temu bual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.