14 kenderaan barangan lagi layak dapat diesel subsidi

14 kenderaan barangan lagi layak dapat diesel subsidi

Pertambahan jenis kenderaan dalam Fasa 2 SKDS 2.0 menjadikan keseluruhan kenderaan barangan layak sebanyak 23 jenis.

Antara kenderaan barangan yang layak mendapatkan diesel bersubsidi mulai esok termasuk lori rigid (‘curtain sider’), lori katering makanan dan lori rigid (sampah).
PETALING JAYA:
Sebanyak 14 jenis kenderaan barangan lagi layak mendapatkan diesel bersubsidi mulai esok, menerusi usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas projek Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 Fasa Dua.

Menterinya Armizan Mohd Ali berkata, pertambahan jenis kenderaan dalam fasa dua ini menjadikan keseluruhan kenderaan barangan yang layak mendapatkan diesel bersubsidi bawah SKDS 2.0 sebanyak 23 jenis.

“Kesemua kenderaan barangan tersebut boleh membuat permohonan melalui Sistem MySubsidi Diesel bermula 10 pagi esok,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan KPDN Zon Utara di Anak Bukit dekat Alor Setar, lapor Bernama.

Kenderaan barangan yang layak mendapatkan diesel bersubsidi mulai esok termasuk lori rigid (curtain sider), lori katering makanan; lori rigid (hasil pertanian); lori tangki rigid (minuman); lori rigid (kandang haiwan); semi (panel van); serta lori rigid (kombinasi).

Selain itu, bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform); van perkhidmatan bergerak, bas katering makanan; lori rigid (perkhidmatan bergerak); van katering makanan; dan lori rigid (sampah) turut layak.

Armizan berkata, pendaftaran bagi 14 jenis kenderaan barangan baharu itu boleh dibuat dalam talian.

Katanya, antara kriteria permohonan yang perlu dipenuhi termasuk syarikat hendaklah berdaftar perniagaan di Malaysia, kenderaan mempunyai cukai jalan yang sah serta berkuat kuasa, dan kenderaan yang layak bawah sistem tersebut.

Setelah permohonan diluluskan pada peringkat sistem MySubsidi Diesel KPDN, pihak syarikat diharap dapat segera mengemukakan permohonan ‘Fleet Card’ di lima syarikat minyak ditetapkan, iaitu Petronas, Shell, Petron, Caltex dan BHP, tambahnya.

“Bagaimanapun, setiap syarikat hanya boleh memilih tiga syarikat minyak untuk mendapatkan ‘Fleet Card’ tersebut,” katanya.

Dalam Fasa Satu SKDS 2.0, sembilan jenis kenderaan terlibat, iaitu lori rigid (kargo am), penggerak utama; lori rigid (luton/kotak); lori rigid (tangki air); lori rigid (refrigerated), lori rigid (tangki tepung); ‘window van’; ‘panel van’; dan lori rigid (minuman botol).

Sebarang pertanyaan boleh disalurkan kepada Pusat Panggilan Sistem MySubsidi Diesel di talian 03-8882 6769 bermula 8 pagi sehingga 5 petang pada hari bekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.