TH diarah siasat 300 jemaah haji terkandas di Makkah

TH diarah siasat 300 jemaah haji terkandas di Makkah

Menteri Agama Na’im Mokhtar menasihati mangsa yang terkandas menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi untuk mendapatkan bantuan khidmat nasihat.

na'im
Menteri Agama Na’im Mokhtar menasihati jemaah berhati-hati dengan sebarang pakej murah haji yang ditawarkan oleh agensi pelancongan yang tidak dilesenkan Lembaga Tabung Haji.  (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar berkata Lembaga Tabung Haji (TH) diarah untuk menyiasat insiden 300 bakal jemaah haji terkandas di Makkah akibat terpedaya dengan pakej haji murah yang ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.

Justeru itu, beliau menasihati semua mangsa supaya menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi untuk mendapatkan bantuan khidmat nasihat.

“Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam di negara ini supaya lebih berhati-hati dengan sebarang pakej murah yang ditawarkan oleh segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH,” katanya dalam kenyataan.

Na’im berkata mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan TH telah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Beliau berkata TH melantik 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji bagi Musim Haji 1445H/2024M dan umat Islam di negara ini dinasihat menggunakan khidmat mereka.

Kira-Kira 300 bakal jemaah haji yang sudah berada di Makkah dilaporkan terkandas apabila agensi yang menguruskan perjalanan mereka gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan ibadah itu pada musim ini.

Bakal jemaah haji terbabit menyedari mereka diperdaya selepas mendapati pakej murah yang ditawarkan oleh agensi terbabit menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.