PH kekal di Kuala Kubu Baharu

PH kekal di Kuala Kubu Baharu

Calon Pakatan Harapan Pang Sock Tao menewaskan Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan calon bebas dengan majoriti 3,869 undi.

Calon Pakatan Harapan daripada DAP Pang Sock Tao memenangi PRK Kuala Kubu Baharu.
HULU SELANGOR:
Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 3,869 undi dalam pertandingan empat penjuru pada PRK kali ini.

Calon PH daripada DAP Pang Sock Tao memperoleh 14,000 undi, menewaskan Perikatan Nasional (PN) diwakili Khairul Azhari Saut daripada Bersatu yang mendapat 10,131 undi.

Manakala Parti Rakyat Malaysia (PRM) diwakili Hafizah Zainuddin serta calon bebas Nyau Ke Xin masing-masing mendapat 152 dan 188 undi.

Kemenangan Pang menyaksikan majoritinya berkurangan berbanding 4,119 undi diperoleh penyandang tiga penggal, Lee Kee Hiong pada PRN Ogos lalu yang menewaskan Henry Teoh daripada Gerakan.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Auree Kamaruddin di Pusat Pengiraan Undi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

SPR merekodkan jumlah keluar mengundi sebanyak 61.51% daripada 40,226 pengundi berdaftar pada PRK ini.

Daripada jumlah itu 39,362 ialah pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Semua calon tidak turun mengundi hari ini kerana mereka adalah pengundi luar.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian Lee pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.