
Sebanyak 17 pusat pengundian ditutup pada 6 petang manakala satu pusat pengundian iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser ditutup 2 petang tadi.
Selepas pusat pengundian ditutup, semua peti undi dari 74 tempat mengundi atau saluran akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
Keputusan rasmi PRK berkenaan dijangka diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya seawal 9 malam.
Proses pengundian hari ini melibatkan 39,269 pengundi yang layak menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.
Pada Selasa lalu, 97% atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di dua pusat mengundi awal iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri, Kem Erskine dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mempunyai tiga tempat mengundi atau saluran.
Terdahulu, proses pengundian berlangsung dalam keadaan cuaca baik di sebelah pagi dan hujan di sebelah petang selain lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.