Keputusan PRK KKB diketahui seawal 9 malam

Keputusan PRK KKB diketahui seawal 9 malam

Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom yakin proses penjumlahan undi akan berjalan lancar.

SKJC Khing Ming KKB PRK
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jangka jumlah keluar mengundi pada PRK Kuala Kubu Baharu sekitar 60%.
HULU SELANGOR:
Keputusan PRK Kuala Kubu Baharu akan diketahui seawal 9 malam ini, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azmi Sharom.

Katanya, ini kerana beliau yakin proses penjumlahan undi akan berjalan lancar, sekali gus membolehkan keputusan dapat diketahui dengan lebih cepat, selain menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK berkenaan sekitar 60%.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Baharu.

Mengulas mengenai perjalanan proses pengundian, Azmi berkata setakat tengah hari, SPR berpuas hati dengan kelancaran dan peratusan jumlah keluar mengundi.

“Kita puas hati, setakat ini semua berjalan lancar, aman, dan sangat bagus. Saya tak ada dengar apa-apa masalah, akses ke saluran mengundi pun bagus untuk warga emas dan OKU (Orang Kurang Upaya),” katanya.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia), dan Nyau Ke Xin (bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Proses pengundian hari ini melibatkan 39,269 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

Sebanyak 18 pusat pengundian dengan 74 tempat mengundi atau saluran bagi PRK itu dibuka serentak pada 8 pagi tadi dan akan ditutup pada 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi, akan ditutup pada 2 petang ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.