Disyaki terima rasuah RM6,000, lelaki menyamar pegawai kerajaan dicekup

Disyaki terima rasuah RM6,000, lelaki menyamar pegawai kerajaan dicekup

Sumber berkata suspek minta suapan daripada wanita dengan memperdaya boleh mengubah laporan kimia dalam kes dadah suaminya.

reman sprm
Suspek direman seminggu sehingga 17 Mei dengan kes disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan seorang lelaki disyaki menyamar pegawai kerajaan di sebuah kementerian dengan meminta serta menerima rasuah kira-kira RM6,000.

Sumber berkata, suspek yang bekerja sendiri didakwa minta suapan kira-kira RM8,000 daripada seorang wanita sebagai balasan membantu mengubah laporan kimia, membabitkan kes dadah suaminya.

“Suspek memaklumkan akan membantu mengubah laporan kimia bagi membolehkan suami wanita itu yang kini ditahan reman atas kes dadah dapat dibebaskan.

“Wanita itu yang percaya dengan kata-kata suspek kemudian telah menyerahkan wang rasuah kira-kira RM6,000 kepadanya,” katanya.

Sumber berkata, suspek berusia 30-an telah ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang sekitar 11 malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

Suspek dibenarkan reman seminggu sehingga 17 Mei oleh Majistret Syahirah Abdul Salim susulan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.