2 lagi lelaki ditahan berkait pusat hiburan dibaling bom petrol

2 lagi lelaki ditahan berkait pusat hiburan dibaling bom petrol

Setakat ini, empat ditahan bagi membantu siasatan kes sebuah pusat hiburan terbakar akibat dibaling bom petrol awal pagi Khamis lepas.

baling bom
Tangkap layar video tular menunjukkan empat individu menaiki motosikal membaling bom petrol di depan sebuah pusat hiburan.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan dua lagi individu disyaki terbabit dalam kes sebuah pusat hiburan terbakar akibat dibaling bom petrol awal pagi Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata dua lelaki berkenaan ditahan hari ini sekali gus menjadikan keseluruhan tangkapan setakat ini seramai empat orang.

Beliau berkata keempat-empat yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 28 tahun dan direman empat hari mulai hari ini hingga 14 Mei.

“Motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lepas, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan empat individu menaiki motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan itu yang terletak di Jalan Yap Kwan Seng.

Susulan itu, dua lelaki ditahan di Batu Caves, Selangor petang semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Semalam, Rusdi dilaporkan berkata keterangan daripada pemilik premis dan pengurus pusat hiburan juga telah diambil bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.