Sudah lakukan yang terbaik, Loke yakin PH pertahan KKB

Sudah lakukan yang terbaik, Loke yakin PH pertahan KKB

Setiausaha Agung DAP itu berkata jentera pilihan raya parti sudah melakukan segala yang terbaik sepanjang kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

Anthony Loke
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata kini terpulang kepada pengundi untuk menilai dan memilih siapa yang akan mewakili mereka dalam PRK Kuala Kubu Baharu esok.
SEREMBAN:
Pakatan Harapan (PH) optimis mampu mempertahankan kemenangan pada PRK Kuala Kubu Baharu esok, kata Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.

Beliau berkata ini kerana jentera pilihan raya parti itu sudah melakukan segala yang terbaik sepanjang kempen PRK berkenaan.

“Sekarang terpulang kepada rakyat (untuk memilih), hari ini pun dah hari terakhir kempen, semalam juga kita telah adakan grand finale dan pimpinan semua parti juga hadir, kita telah lakukan kempen terbaik, terpulang kepada pengundi untuk menilai.

“Sudah tentu kita ada keyakinan dan saya harap keyakinan itu dapat diterjemahkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan DSHAH dan Muafakat Memacu Gemilang di sebuah sekolah.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Pilihan raya tersebut diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN terbabit, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Muda dengan meraih majoriti undi 4,119.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.