
Pengarah Pilihan Raya PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu, Azmin Ali, berkata pihaknya menerima banyak laporan risikan dan penentu sebenar kemenangan pilihan raya ialah pengundi setempat.
“Kita merayu semua pengundi mesti melaksanakan tanggungjawab untuk menentukan (wakil rakyat akan berkhidmat) dalam lima tahun akan datang untuk pembangunan dan kemajuan di Kuala Kubu Baharu,” katanya selepas menghadiri Majlis Munajat PN sempena PRK Kuala Kubu Baharu di Batang Kali.
Terdahulu, Ilham Centre meramalkan PH yang diwakili DAP mampu mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dalam PRK esok.
Badan pemikir itu mengakui saingan sengit diberikan PN, namun sedikit kelebihan memihak PH dan peratusan keluar mengundi akan menjadi faktor utama kalah menang antara dua gabungan itu.
Azmin berkata, tinjauan mendapati sambutan pengundi terhadap calon PN sangat positif dan ia mempunyai peluang baik untuk memenangi PRK itu.
“Secara umumnya, sambutan cukup positif oleh rakyat KKB. Semalam kita lihat bagaimana sambutan masyarakat India yang cukup baik menyambut kedatangan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dan mereka mendengar sendiri penjelasan dasar-dasar PN.”
Beliau mengakui 18% pengundi India di Kuala Kubu Baharu merupakan penentu tetapi PN menyasarkan sokongan semua kaum untuk gabungan itu menang esok.