PRK KKB: Pengundi India tukar selera atau kekal sokong PH?

PRK KKB: Pengundi India tukar selera atau kekal sokong PH?

Sokongan 7,273 pengundi India cukup penting dalam menentukan 'Yang Berhormat' Kuala Kubu Baharu pada pilihan raya esok.

Pengundi India mewakili 18% daripada 40,444 pemilih pada PRK Kuala Kubu Baharu.
HULU SELANGOR:
Seperti hari-hari lain, cuaca di Kuala Kubu Bharu tidak menentu. ‘Panas ekstrem’ di sebelah pagi kemudian disimbahi hujan lebat pada sebelah petang sedikit-sebanyak merencatkan pergerakan dirancang.

“Cuaca tak menentu sekarang, macam hati kami juga, tak boleh baca nak undi siapa,” seloroh S Gopal, pemilik kedai runcit di Estet Kerling – antara 7,273 pengundi India di DUN Kuala Kubu Baharu.

Jika sebelum ini undi kaum India dikatakan solid berpihak kepada Pakatan Harapan (PH), namun pada pilihan raya kali ini komuniti meliputi 18% pengundi Kuala Kubu Baharu itu dikatakan lebih terbuka untuk bertukar ‘selera’.

S Gopal.

“Orang India kecewa, wakil rakyat sebelum ini dari kerajaan sekarang tak pernah datang sini, ambil tahu masalah kami,” kata Gopal, mengakui terkesan dengan gelaran ‘keling’ oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap mereka, akhir tahun lalu.

“Dia tawar janji banyak mana pun orang India tak akan sokong, mungkin mereka boleh menang PRK ini tapi PRU akan datang ramai orang India akan tolak parti kerajaan hari ini,” katanya meneruskan perbualan.

Menurutnya, kos sara hidup yang semakin mencabar juga masih gagal ditangani kerajaan Madani, mengambil contoh penduduk estet di kawasannya yang terpaksa berhutang di kedai termasuk membeli beras.

“Kita punya perniagaan kurang (baik), orang tak mampu nak beli sebab kos barang naik. Ada juga penduduk sampai berhutang, tapi mereka bayar balik,” katanya.

Gopal berkata, terdapat juga ura-ura penduduk di estet berkenaan enggan keluar mengundi, kerana tawar hati dengan PH dan pada masa sama tidak yakin dengan calon Perikatan Nasional.

“Orang India rata-rata kata tak mahu keluar undi, kalau keluar undi pun akan buat undi rosak, PN pula langsung tak datang sini, kita tak tahu siapa wakil dia…tak pernah datang sini.

“Apa dia punya agenda pun tak tahu cuma ada bendera depan ni, itu pun pasang 2, 3 pagi lepas tu cepat-cepat lari, kami bangun tengok sudah ada bendera,” katanya menuding ke arah hadapan kedainya.

Masyarakat India tetap undi ‘perpaduan’

penduduk Estet Kerlin
Jika sebelum ini undi kaum India dikatakan solid berpihak kepada PH, namun pilihan raya kali ini komuniti meliputi 18% pengundi Kuala Kubu Baharu dikatakan lebih terbuka bertukar ‘selera’.

Berbeza dengan S Indra, 63, kehidupannya kini jauh lebih baik berbanding dahulu, dan tetap akan mengundi calon perpaduan.

“Kali ini tak ada ubah (undi), undi parti sama juga. Anak-anak pun sama,” kata ibu lapan anak itu. “Kita (kaum India) tak ada dipinggirkan, mereka bantu.”

S Indra
S Indra.

Namun, beliau yang tinggal di kuarters disediakan majikan lebih 30 tahun mahu pemerintah memudahkan pemilikan rumah murah bagi komuniti India yang kebanyakannya tinggal di kawasan estet.

“Saya nak rumah sendiri, rumah mampu milik RM300-RM400 sebulan, kalau mahal kami tak mampu sebab kerja estet. Sekarang anak saya sambung kerja estet, umur dia 40 tahun…rumah estet boleh duduk sampai 60 tahun saja, lepas 20 tahun kami kena angkat kaki keluar.”

M Janaki
M Janaki.

Bagi M Janaki, 41, laporan mengatakan kaum India ditindas disifatkan sebagai ‘cakap-cakap nakal’ kerana sejak menetap di Kuala Kubu Bharu, kehidupannya semakin hari semakin baik.

“Saya ada dengar orang cakap bawah kerajaan sekarang orang India ditindas, dipinggirkan tapi saya sendiri tak rasa perkara itu. Kita pilih parti sama senang nak dapat bantuan,” katanya. “Sebab PN tak ada bantu setakat ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.