Pengundi luar kawasan, India boleh pengaruhi keputusan PRK Ayer Kuning, kata penganalisis

Pengundi luar kawasan, India boleh pengaruhi keputusan PRK Ayer Kuning, kata penganalisis

Tidak pasti sama ada 46% pengundi berusia 18 hingga 39 tahun yang bekerja di bandar lain akan pulang mengundi hari ini.

Mohamad Yusri Bakir, Abdul Muhaimin Malek dan KS Bawani
Mohamad Yusri Bakir (BN), KS Bawani (PSM) dan Abd Muhaimin Malek (PN) akan berentap dalam PRK Ayer Kuning hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) mungkin mempunyai sedikit kelebihan dalam PRK Ayer Kuning hari ini, tetapi penganalisis politik memberi amaran peratusan keluar mengundi, khasnya dalam kalangan belia luar kawasan dan pengundi India tidak berpuas hati boleh mengubah keputusan.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, BN mendapat manfaat daripada populariti empat penggal Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan dan legasi Adun Allahyarham Ishsam Shahruddin.

Tetapi, aspek tersembunyi demografi dan politik utama masih boleh mempengaruhi keputusan itu.

Terdapat 31,940 pengundi di Ayer Kuning merangkumi 55.97% Melayu, 22.9% Cina, 14.38% India dan 7.5% pengundi Orang Asli.

“Melihat betapa aktifnya Saravanan berkempen, ramai pengundi India akan tetap mengundi BN, tetapi ada yang mungkin tidak keluar mengundi atau menyokong calon PSM, KS Bawani sebagai satu bentuk protes,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, tidak pasti sama ada 46% pengundi berusia 18 hingga 39 tahun yang bekerja di bandar lain akan pulang mengundi.

“Jumlah itu dianggap besar. Berapa ramai yang akan pulang mengundi masih menjadi persoalan,” katanya sambil menambah peratusan keluar mengundi pada PRU 2022 mencecah 74%, tetapi jumlah itu biasanya lebih rendah pada PRK.

Ayer Kuning, kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Tapah, merupakan kubu kuat Umno sejak 1986. Ishsam memenangi kerusi itu dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan Nazri Hashim dari Amanah pada 2022.

BN meletakkan Setiausaha Umno Tapah, Mohamad Yusri Bakir, 54. Bekas guru berkelulusan ijazah doktor falsafah (pendidikan Islam) itu merupakan ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh.

Senator MIC, C Sivarajah juga percaya peratusan keluar mengundi akan menjadi faktor. Katanya, populariti Saravanan dan legasi Isham saja tidak akan menjamin kemenangan.

“Bekas Adun itu berkhidmat dengan baik dan Saravanan sudah bercakap mengenai kuil Hindu dan isu menjejaskan masyarakat tempatan, tetapi peratusan keluar mengundi faktornya.”

BN dijangka menang di Ayer Kuning kerana MIC dan Saravanan, tetapi Pengerusi Urimai, P Ramasamy, berkata mungkin ada undi protes yang akan menguntungkan PSM.

“Secara keseluruhannya, masyarakat India kecewa. Tiada menteri Tamil dalam Jemaah Menteri Anwar Ibrahim dan isu kuil Jalan Masjid India mencetuskan rasa tidak puas hati,” katanya kepada FMT.

Kempen PN gagal

Sivarajah, bekas naib presiden MIC, berkata Perikatan Nasional bergelut untuk berhubung dengan pengundi di Ayer Kuning. “Kempen PN di sini tidak berkesan kerana isu mereka tidak begitu relevan di sini.”

Sivamurugan berkata, kempen calon PN Abd Muhaimin Malek, terutama fokusnya untuk menutup ladang ternakan babi haram mungkin menyisih pengundi bukan Melayu.

Isu ternakan babi menjadi titik utama kempen PN, dengan kebimbangan dibangkitkan berhubung kehadiran ia di kawasan dominasi orang Melayu.

PAS mendakwa sisa dari sebuah ladang ternakan babi mencemari Sungai Bidor, tetapi kerajaan Perak menegaskan semua 85 ladang berlesen dan menafikan aktiviti haram berleluasa.

Sivamurugan berkata, matlamat PN untuk menarik pengundi Melayu, tetapi kempen mereka akan “menolak pengundi bukan Melayu kepada BN dan PSM, yang melihatnya sebagai cubaan tidak memfokuskan isu lain”.

Katanya, PAS mungkin cuba menarik undi protes daripada penyokong BN yang kecewa dengan gabungan itu bekerjasama dengan DAP, tetapi perkara ini mungkin tidak meningkatkan sokongan mereka secara drastik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.