
Beliau memetik data dalaman menunjukkan semakin ramai pengundi Cina yang menyokong PH sebelum ini tidak lagi berhasrat mengundi.
“Kita patut bimbang dengan penyokong Cina. Sebanyak 32% daripada mereka kata tidak akan undi PH atau PKR. Mereka tidak akan undi Perikatan Nasional (PN) juga. Mereka tidak akan keluar mengundi,” katanya tanpa menyatakan dasar bagi perbandingan dalam sebuah acara kempen di Kedah malam tadi.
Menurutnya, masalah sama turut timbul dalam kalangan pengundi India, dengan data dalaman menunjukkan penurunan sokongan kepada PH sebanyak 38%.
Menteri ekonomi itu berkata, PH perlu sedar kekecewaan pengundi dan mengambil tindakan bermakna, khasnya pengundi atas pagar yang memerhati kerajaan perpaduan.
“Jika harga naik, kita tak boleh kata ‘semuanya baik-baik saja’. Jika kos sara hidup memberi kesan kepada orang ramai, kita perlu akuinya.”
Rafizi turut menyentuh keputusan PRK baru-baru ini dengan berkata, pemindahan undi antara PH dan Barisan Nasional (BN) tidak berlaku seperti diharapkan.
“Pengundi Umno pilih PN. Pengundi PH sokong BN di kerusi di mana BN lawan PN, tetapi apabila PH lawan PN, pengundi BN sokong PN.
“Ini menunjukkan undi BN tidak akan pindah secara automatik kepada PH, walaupun PH dan BN bekerjasama pada PRU akan datang.”
Beliau turut mempertahankan kebolehpercayaan tinjauan dalamannya dengan berkata, ia menawarkan pandangan lebih jelas berbanding tinjauan pihak ketiga seperti dilakukan Merdeka Center.
“Merdeka Center tak ramal keputusan 2018. Mereka kata Najib Razak akan menang dua pertiga. Mereka tak tanya rakyat, siapa mereka akan undi. Kami tanya.”
Berhubung kritikan terhadap gaya kempennya secara terbuka, Rafizi berkata, beliau lebih suka ketelusan berbanding tindakan belakang tabir.
“Ini lebih baik daripada perjumpaan di hotel dan minta ketua cawangan bawa 40 orang untuk ‘selfie’.”