Kes pemerasan RM1.25 juta: 7 polis direman bawah Sosma

Kes pemerasan RM1.25 juta: 7 polis direman bawah Sosma

Tujuh anggota polis berusia 32 hingga 50 tahun itu direman mulai semalam hingga 5 Jun ini.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata penahanan tujuh anggota polis itu bagi siasatan lanjut jika terdapat elemen baharu.
KUALA LUMPUR:
Tujuh anggota polis, termasuk seorang pegawai kanan berpangkat ACP yang ditahan berhubung kes pemerasan berjumlah RM1.25 juta, direman sehingga 5 Jun ini mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata reman terhadap semua individu berusia 32 hingga 50 tahun itu bermula semalam.

“Siasatan yang dijalankan mendapati kumpulan ini bertindak secara bersama bagi melakukan jenayah dengan tujuan mendapatkan faedah. Oleh itu, penahanan ini bagi siasatan lanjut jika terdapat elemen baharu,” katanya semasa dihubungi.

Selain ACP itu, turut ditahan seorang DSP, tiga inspektor dan masing-masing seorang sarjan dan lans koperal.

Razarudin berkata, seorang daripada tujuh individu yang merupakan inspektor 34 tahun ditahan di ibu negara semalam, selepas menyerah diri.

Pada 3 Mei lepas, Razarudin mengesahkan penahanan tiga pegawai berpangkat ACP, DSP dan inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sekitar Jalan Tun Razak bagi membantu siasatan kes pemerasan itu, susulan laporan polis yang dibuat pada malam sebelumnya.

Ia kemudian membawa kepada penahanan masing-masing seorang inspektor, sarjan dan lans koperal yang berkhidmat di jabatan sama.

Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-undang/Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.