
Ketua Penerangan Pemuda, Neow Choo Seong, sebaliknya meminta Presiden Gerakan Dominic Lau jangan cuba meretakkan hubungan sesama parti komponen BN.
“Gerakan pernah menjadi sebahagian daripada BN dan pasti mereka ingat bagaimana diterima masuk sebagai parti komponen pada 1973.
“Sepatutnya Gerakan lebih faham dan menghormati semangat konsensus dalam BN. Jangan ada mana-mana pihak yang ingin memecah-belahkan BN,” katanya kepada FMT.
Pada 8 Mei lalu, Lau berkata Gerakan sedia menjalinkan kerjasama semula dengan MCA jika sekutu lamanya itu tidak lagi mahu bersama BN.
Katanya, Gerakan terbuka menerima mana-mana parti berhasrat bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) termasuk MCA, jika mereka boleh menerima ideologi perjuangan gabungan itu.
Kenyataan Lau susulan MCA memberikan amaran kepada Pengerusi BN Zahid Hamidi supaya tidak membuat keputusan sendiri mengenai rakan kerjasama gabungan itu menjelang PRU16.
Presiden MCA, Wee Ka Siong, berkata banyak keputusan dibuat presiden Umno sebelum ini bersifat sepihak, termasuk hasrat Zahid agar kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH) diteruskan selepas PRU16.
Beliau mengingatkan Zahid, MCA dan MIC masih komponen BN, maka sebarang keputusan perlu dibuat bersama.
Katanya, jika Umno berdegil untuk tetap ‘bercium mulut’ dengan DAP pada PRU16, MCA tidak akan teragak-agak bergerak solo.
Sementara itu, Neow berkata sokongan dan dukungan penuh yang kekal diberikan walaupun BN berdepan kekalahan pada PRU lalu, membuktikan MCA mementingkan semangat setia kawan serta mahu bersama memulih dan memperkuatkan semula gabungan tersebut.
“Cuma saya ingin tanya (Lau), apa ideologi perjuangan PN? Adakah ia sama dengan ideologi perjuangan Gerakan. Bagaimana kalau satu hari nanti DAP juga ingin menyertai PN atas faktor politik? Adakah Gerakan turut akan menerima DAP?” katanya.
Gerakan meninggalkan BN yang disertainya sejak 1973 pada Jun 2018 selepas kekalahan teruk dalam PRU14.
Ia kemudian menyertai PN pada 2021 yang dilihat mempunyai agenda sama untuk mengambil berat soal kebajikan dan pembangunan ekonomi.