Batal, buka semula tender jika gagal hantar Black Hawk, kata menteri

Batal, buka semula tender jika gagal hantar Black Hawk, kata menteri

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan itu berdasarkan perjanjian yang termaktub antara kementeriannya dengan syarikat kontraktor dilantik.

Black hawk
Sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat sepatutnya dihantar pada hujung bulan lalu. (Gambar Reuters)
KLUANG:
Kementerian Pertahanan akan mempertimbangkan untuk membatalkan atau membuka semula tender ekoran kelewatan penghantaran pertama helikopter Black Hawk, sekiranya kontraktor sedia ada masih gagal membuat penghantaran mengikut perjanjian.

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan sedemikian berdasarkan perjanjian yang termaktub antara kementerian itu dengan syarikat kontraktor dilantik.

“Dalam pemolehan sebegini, ia akan ada kelewatan dan soal (bagaimana) kita mengurus kelewatan itu seperti dalam syarat kontrak. Dalam kontrak, kita mengambil kira perkara seperti ini akan terjadi dan apabila ia betul berlaku, kita rujuk kontrak.

“Apabila betul-betul tidak boleh dilaksana, barulah kita buat keputusan sama ada batal atau buka tender semula. Semuanya dalam keadaan diurus sebagaimana yang disyaratkan dalam kontrak,” katanya selepas lawatan kerja ke Kem Mahkota di sini.

Pada 16 April lalu, Panglima Tentera Darat, Muhammad Hafizuddeain Jantan dilaporkan berkata, Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengambil tindakan susulan jika kontraktor masih gagal membuat penghantaran pertama Black Hawk pada hujung bulan lepas.

Beliau amat berharap kontraktor terbabit dapat membuat penghantaran peringkat pertama melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat itu.

Ditanya sama ada Kementerian Pertahanan mempunyai perancangan membeli helikopter sendiri berbanding menyewa, Khaled berkata, pendekatan kerajaan adalah memajak kerana langkah itu mempunyai elemen penjimatan.

Pada Mei 2023, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak sewaan empat helikopter dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence and Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.

Sementara itu, Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, Poliklinik Kem Mahkota yang tertangguh sejak tahun lepas dijangka siap tahun depan, selepas kontraktor baharu dilantik bagi menyambung pembinaannya.

Apabila siap kelak, poliklinik yang turut menyediakan pusat hemodialisis dan pusat pembedahan itu akan menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada kira-kira 10,000 warga ATM yang menetap di kem tersebut dan penduduk setempat.

Terdahulu, beliau menyerahkan cek berjumlah RM11.4 juta bagi program Senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Mahkota tahun ini melibatkan 1,078 unit kediaman warga tentera yang bertugas di kem itu.

Khaled turut menyampaikan Sumbangan Pendidikan Madani oleh Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera kepada 10 anak ATM yang memasuki persekolahan tahun ini secara sekali beri RM50 yang dikreditkan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN Prime), selain sumbangan tunai RM300 kepada 18 penerima dalam kalangan anak anggota menghidap penyakit kronik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.