Azam ikrar laksana tugas penuh integriti

Azam ikrar laksana tugas penuh integriti

Ketua pesuruhjaya SPRM berharap seluruh rakyat dan jentera kerajaan, tanpa kompromi berganding bahu memerangi rasuah.

Lanjutan perkhidmatan selama setahun Azam Baki berkuat kuasa 12 Mei.
PETALING JAYA:
Azam Baki berikrar akan menjalankan tugas dengan penuh integriti, selepas dilantik semula sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berharap seluruh rakyat dan jentera kerajaan, tanpa kompromi berganding bahu bersama SPRM memerangi rasuah dalam negara.

“Saya akan terus memastikan amanah ini dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti.

“Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan semula saya ke jawatan ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali memaklumkan Sultan Ibrahim berkenan menyambung perkhidmatan Azam untuk tempoh setahun lagi berkuat kuasa 12 Mei ini.

Ini adalah pelanjutan kontrak kali kedua dibuat terhadap Azam selepas beliau mencapai usia wajib bersara tahun lalu.

Pelantikan itu juga menyaksikan ini tahun keempat Azam berkhidmat mengetuai agensi antirasuah tersebut, selepas kali pertama dilantik pada 9 Mei 2020 menggantikan Latheefa Koya yang meletak jawatan selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Azam juga berkhidmat bawah tiga perdana menteri bermula Muhyiddin Yassin, diikuti Ismail Sabri Yaakob dan turut dikekalkan dalam pentadbiran Perdana Menteri ke-10 Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.