Tragedi di Lumut: Kesihatan kru baik, helikopter selamat untuk terbang

Tragedi di Lumut: Kesihatan kru baik, helikopter selamat untuk terbang

Laporan awal Lembaga Siasatan turut mendapati keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melakukan penerbangan.

Keadaan sebuah helikopter yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut pada 23 April lalu. (Gambar JBPM)
KUALA LUMPUR:
Tahap kesihatan semua kru udara dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bulan lepas, dalam keadaan baik untuk mengendalikan pesawat.

TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu disahkan menerusi laporan awal insiden oleh Lembaga Siasatan, yang turut menyatakan tahap kelayakan penerbangan kru udara terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

Lembaga Siasatan itu turut mendapati kedua-dua helikopter terlibat iaitu Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec, disahkan berada dalam keadaan airworthy (selamat untuk terbang) semasa hari kejadian.

“Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan pihak pengeluar peralatan asal (OEM).

“Keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan,” menurut kenyataan itu.

Katanya, Lembaga Siasatan mendapati pesawat HOM AW139 mempunyai kotak hitam, manakala Fennec yang dikeluarkan pada 2003 tidak dilengkapi peralatan itu.

“Data yang telah dianalisis daripada Multi Purpose Flight Data Recorder (kotak hitam) pesawat HOM AW139 diterima pada 3 Mei daripada pihak OEM untuk penilaian lanjut Lembaga Siasatan.”

Dalam tragedi 23 April lalu, 10 anggota dan pegawai TLDM, terdiri daripada tujuh kru HOM-AW139 dan tiga kru Fennec terkorban selepas dua helikopter itu terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Lumut, Perak.

Susulan kejadian itu, Lembaga Siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas terbabit.

Sementara itu, TLDM memaklumkan Lembaga Siasatan sedang berusaha menyiapkan laporan akhir yang dijangka selesai 29 Mei ini.

Menurutnya, Lembaga Siasatan akan terus mengenal pasti aspek berkaitan yang perlu diteliti lebih mendalam dan menyediakan laporan akhir secara menyeluruh serta terperinci.

“TLDM memberi jaminan siasatan ini dilaksanakan dengan telus dan komprehensif bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.”

TLDM menjelaskan Lembaga Siasatan sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang menyumbang kepada insiden terbabit dengan meneliti perkara merangkumi aspek menganalisis semula profil penerbangan pada hari kejadian dengan mensimulasikan ia menggunakan simulator penerbangan dan pesawat sebenar.

“Bantuan dan pandangan daripada pihak Airbus Helicopter sekiranya terdapat data pada peralatan pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan.”

Lembaga Siasatan itu dianggotai sembilan pegawai TLDM berkepakaran penerbangan dan kejuruteraan udara turut mendapat bantuan daripada Markas Tentera Udara – Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan doktor perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kerjasama, kepakaran dan pandangan daripada pihak OEM, iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter turut dirujuk bagi melengkapkan siasatan, termasuk analisis penuh rakaman Multi Purpose Flight Data Recorder pesawat HOM.”

Mengenai kebajikan keluarga mangsa, TLDM berkata, pihaknya akan terus berusaha memastikan perkara itu diuruskan sebaiknya, khasnya berhubung ganjaran dan faedah sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.