Desak bebas Najib, Umno ‘cemar’ imej kerajaan perpaduan, kata penganalisis

Desak bebas Najib, Umno ‘cemar’ imej kerajaan perpaduan, kata penganalisis

Azmil Tayeb menjangkakan strategi itu mendatangkan lebih banyak mudarat kepada kerajaan perpaduan.

Najib Razak kini sedang menjalani hukuman penjara, yang baru-baru ini dikurangkan kepada 6 tahun, atas kesalahan pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Desakan berterusan oleh Umno untuk menjamin pembebasan bekas perdana menteri Najib Razak dari penjara boleh mencemarkan imej kerajaan perpaduan dan menjejaskan prospeknya pada pilihan raya akan datang, kata seorang penganalisis politik.

Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia berkata, strategi parti itu mungkin merugikan kerajaan perpaduan, terutamanya jika ia berhasrat kekal memegang kuasa selepas PRU16.

Niat pengundi, terutamanya penyokong Pakatan Harapan (PH), akan terbantut oleh ‘usaha sepenuh jiwa raga Umno untuk membebaskan Najib’, katanya.

Azmil berkata, hal ini terutamanya kerana gabungan pimpinan Anwar Ibrahim gigih berkempen untuk membasmi rasuah menjelang pilihan raya 2018, yang melepaskan cengkaman 61 tahun Barisan Nasional ke atas kuasa.

Akibatnya, penyokong PH mungkin mengelak daripada mengundi kerana berasa kecewa, katanya.

“Walaupun Najib dibebaskan, pengundi Melayu mungkin tidak kembali ke pangkuan Umno. Mereka tidak mengundi Umno pada PRU14 dan PRU15 kerana (membantah) rasuah yang berakar umbi dalam parti itu,” kata Azmil kepada FMT.

Beliau berkata, desakan berterusan Umno agar Najib dibebaskan menunjukkan parti itu hanya fokus kepada kepentingan sendiri, bukannya kepentingan gabungan.

Azmil berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi bahawa parti itu sedang meneroka segala cara untuk memastikan bekas ketuanya itu dapat disatukan semula dengan keluarganya.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara, yang baru-baru ini dikurangkan separuh kepada enam tahun, atas kesalahan pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa.

Bulan lepas, dia mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk memaksa kerajaan mengemukakan “dekri tambahan” yang dikatakan dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membenarkannya menjalani hukuman sebagai tahanan rumah.

Sementara itu, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia bersetuju, usaha Umno untuk membebaskan Najib menjejaskan imej PH sebagai pengkritik lantang skandal 1MDB.

Bagaimanapun, beliau berkata, PH boleh menangani isu itu dengan menjelaskan gabungan itu tidak mempunyai peranan dalam pelbagai kes undang-undang melibatkan bekas perdana menteri itu.

Katanya, PH boleh berhujah, Najib berhak menuntut semakan kehakiman.

“Mesej yang mesti disampaikan kepada rakyat adalah kerajaan tidak campur tangan (dalam proses kehakiman), dan pada masa sama, tidak menggunakan sebarang cara menyalahi undang-undang untuk membebaskan Najib,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.